JOHOR BAHRU – Sebanyak 24 tan ayam sejuk beku disyaki cuba diseludup masuk melalui Teluk Kabung, Pasir Gudang berjaya dipatahkan Zon Maritim Tanjung Sedili dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, maklumat risikan membawa kepada penahanan sebuah bot gentian kaca yang mencurigakan di jeti persendirian pada jam 2.45 petang, Jumaat.
Iklan
Iklan
“Hasil pemeriksaan menemui 2,071 kotak ayam sejuk beku yang mana setiap satunya seberat kira-kira 12 kilogram dipercayai cuba dibawa masuk tanpa kelulusan bagi mengelakkan pihak berkuasa.
"Seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun ditahan, manakala sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk mengangkut kotak ayam ini turut dirampas," katanya dalam kenyataan.
Mohd Najib memberitahu nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM600,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barangan tanpa kelulusan sah.