PADA Sabtu, rakyat Sabah akan ke pusat pengundian membuang undi kerana ia peluang penting untuk menentukan masa depan negeri.
Harapan tinggi bahawa ramai akan turun mengundi, menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dan memilih pemimpin yang mampu membawa kemajuan sekiranya cuaca dalam keadaan baik.
Malangnya, ramalan cuaca menunjukkan gambaran kurang cerah untuk hari penting itu.
MetMalaysia meramalkan hujan boleh berlaku sejak awal pagi dan berlanjutan hingga petang di banyak kawasan di Sabah termasuk bandar utama dan pedalaman.
Beberapa daerah dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat bahkan kemungkinan banjir kilat.
Situasi itu menimbulkan dilema besar, jika ramai enggan keluar mengundi kerana cuaca, wakil rakyat yang terpilih mungkin tidak benar-benar mencerminkan kehendak majoriti atau semangat sebenar rakyat Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan cuaca yang diramal hujan dan buruk pada sebelah petang berpotensi menjejaskan jumlah kehadiran pengundi.
Perkara terbabit diakui Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun bahawa cuaca yang tidak menentu berpotensi menjejaskan kehadiran pengundi.
Bagaimanapun, beliau menambah, SPR hanya akan menunda atau menangguhkan proses pengundian sekiranya berlaku keadaan terlalu serius seperti banjir besar, tanah runtuh atau kawasan terputus hubungan.
SPR sudah siapkan SOP dan memaklumkan akan bertindak berdasarkan situasi semasa dan maklumat yang diterima.
Bagaimanapun, persediaan agensi sahaja tidak cukup, sebaliknya rakyat Sabah sendiri digalakkan merancang awal dengan hadir awal, semak ramalan cuaca, bawa payung atau kelengkapan hujan, dan jika boleh turun pada waktu cuaca paling baik di kawasan masing-masing.
Jika cuaca elok, undi bakal menjadi manifestasi harapan dan peluang memilih pemimpin yang boleh bawa pembangunan, kemudahan asas, dan penyelesaian masalah banjir, jalan, bekalan elektrik dan infrastruktur.
Sebaliknya, sekiranya cuaca buruk mengurangkan peratusan mengundi, ia kemungkinan boleh memberi kesan besar pada keputusan, terutama di kerusi marginal menjadikan tanggungjawab undi lebih penting.
PRN Sabah pada 29 November adalah detik penting dan jika cuaca mengizinkan dan rakyat turun ramai, ia boleh menjadi pencetus era baru bagi negeri.
Ingatlah, sekiranya cuaca elok, keluarlah mengundi tanpa berlengah kerana inilah peluang terbaik rakyat Sabah memastikan suara mereka benar-benar didengari dan dihormati.