Kes ugutan bunuh terhadap Caprice diklasifikasikan NFA

Iklan
Caprice

KUALA LUMPUR – Kes ugutan bunuh yang dilaporkan oleh pempengaruh media sosial, Caprice dan mengaitkan dua individu termasuk seorang ahli perniagaan pada Julai lalu telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Individu terbabit ialah Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, R Jeyenderan dan jurulatih gimnasium, Syed Mohammad Murad Syed Naseem yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

Peguam Aizzat Mustafa yang mewakili kedua-dua individu berkenaan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai keputusan tersebut menerusi sepucuk surat daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Shah Alam, Deputi Superintenden Mohd Faizal Mohd Salleh, bertarikh 26 November lalu dan disampaikan kepada firma guaman Tetuan Solehuddin & Ozier.

“Surat itu menyatakan bahawa kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Selangor yang membuat keputusan untuk mengklasifikasikan kes ini sebagai NFA.

Iklan

“Semua barang kes akan dipulangkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pada 10 Julai lalu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, telah membuat laporan polis selepas mendakwa menerima mesej berunsur ugutan menerusi Instagram.

Iklan