SEREMBAN - Lapan lelaki tempatan yang terkandas di Jeti Platform Petron, Port Dickson susulan kejadian ribut dan laut bergelora awal pagi Jumaat, dilaporkan selamat.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai mangsa berusia 20-an hingga 50-an terkandas di kawasan berkenaan akibat runtuhan di platform jeti selepas dibadai Ribut Tropika Senyar.
Iklan
Iklan
"Lima mangsa menyelamatkan diri di dalam bot tunda (tugboat) milik Petron, manakala dua lagi berada di bot penyelamat pasukan Emergency Respond Petron dan seorang terkandas di atas jeti.
"Kesemua mangsa tidak dapat balik ke darat disebabkan keadaan laut bergelora dan angin kuat," menurut kenyataan itu.
Pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pengurusan Petron segera ke lokasi insiden bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut kenyataan itu, kesemua mangsa diselamatkan bot penyelamat Pasukan Emergency Respond Petron kira-kira 3.55 pagi.
"Kesemua mangsa dikumpulkan di dalam bot tunda dalam keadaaan selamat sebelum dibawa ke darat, dan operasi tamat pada jam 6 pagi tadi," katanya. - Bernama