Tragedi kebakaran terburuk di Hong Kong

Iklan
Asap tebal dan api menjulang tinggi apabila beberapa blok pangsapuri di Wang Fuk Court, daerah Tai Po, terbakar. Foto AFP

HONG KONG – Sekurang-kurangnya 55 orang terkorban dan lebih 100 cedera manakala ratusan masih hilang selepas kebakaran besar memusnahkan kompleks pangsapuri di Hong Kong.

Kejadian yang dikatakan paling dahsyat dalam beberapa dekad ini bermula pada Rabu petang di Wang Fuk Court, sebuah kompleks lapan blok dengan 2,000 unit kediaman di daerah Tai Po yang kini sedang menjalani kerja penyelenggaraan.

Iklan
Iklan

Pada Khamis, polis mengumumkan seramai tiga lelaki ditahan berkaitan dengan kebakaran itu selepas bahan mudah terbakar yang ditinggalkan semasa kerja penyelenggaraan menyebabkan api merebak dengan pantas secara tidak terkawal.

Premis berasingan turut diperiksa, dengan dokumen berkaitan suspek dibawa bagi membantu siasatan terhadap tindakan mereka yang disyaki cuai teruk, termasuk meninggalkan pembungkusan polimer buih (bahan mudah terbakar) di lokasi kebakaran.

Iklan

Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran di empat daripada tujuh pangsapuri yang musnah dijilat api. Foto AFP

Jurufoto AFP yang berada di lokasi selepas subuh melihat beberapa unit masih terbakar, walaupun api dilaporkan semakin reda. Api mula merebak daripada perancah buluh pada beberapa blok 31 tingkat.

Iklan

Penduduk tempatan, termasuk seorang lelaki berusia 65 tahun bernama Yuen berkata, dia telah menetap di situ lebih 40 tahun dan ramai jiran yang lanjut usia mungkin sukar bergerak.

“Tingkap ditutup kerana penyelenggaraan, sesetengah orang tidak sedar tentang kebakaran dan terpaksa diberitahu melalui panggilan telefon oleh jiran. Saya sangat terkejut dan hati saya hancur,” kata Yuen.

Mangsa dan kecederaan

Turut terkorban ialah seorang anggota bomba berusia 37 tahun yang ditemui dengan luka melecur di muka selepas hilang hubungan dengan rakan sekerja, menurut Pengarah Perkhidmatan Bomba, Andy Yeung.

Seorang jurucakap kerajaan berkata, 56 orang dirawat di hospital dengan 16 dalam keadaan kritikal dan 16 stabil.

Orang ramai menyaksikan pangsapuri di kawasan Wang Fuk Court yang masih terbakar di daerah Tai Po.-AFP

Sementara itu Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, memaklumkan 279 individu masih tidak dapat dikesan, walaupun pihak bomba kemudian berjaya menghubungi sebahagian daripada mereka. Lebih 900 orang mencari perlindungan di pusat sementara.

Cabaran operasi penyelamatan

Timbalan Pengarah Operasi Perkhidmatan Bomba, Derek Armstrong Chan berkata, suhu di lokasi sangat tinggi dan terdapat beberapa tingkat yang belum dapat diakses untuk menyelamatkan mereka yang memohon bantuan.

Api dipercayai merebak dari satu bangunan ke bangunan lain akibat angin kuat, namun siasatan terhadap punca kebakaran masih dijalankan.

Peta infografik menunjukkan kawasan sekitar Wang Fuk Court, di mana kebakaran maut berlaku di beberapa blok pangsapuri tinggi pada 26 November. Foto AFP

Beberapa bahagian perancah hangus dan api dapat dilihat menembusi tingkap pangsapuri, menghasilkan cahaya jingga yang menyeramkan. Penduduk dipindahkan menggunakan bas besar, manakala jalan raya berhampiran ditutup bagi membolehkan operasi.

Presiden China, Xi Jinping turut menyampaikan ucapan takziah termasuk kepada anggota bomba yang terkorban ketika bertugas. - AFP

Seorang sukarelawan mengagihkan pakaian sumbangan selepas kebakaran besar memusnahkan beberapa blok pangsapuri tersebut. Foto AFP

INFO

Lokasi: Wang Fuk Court, Tai Po, Hong Kong

Tarikh kejadian: Rabu, 27 November 2025

Mula kejadian: Api marak di bahagian perancah buluh pada beberapa bangunan kediaman di Wang Fuk Court, yang terdiri daripada lapan menara setinggi 31 tingkat dengan keseluruhan 1,984 unit.

Punca: Masih disiasat; bahan binaan mudah terbakar, perancah buluh, jaring, plastik, disyaki mempercepat kebakaran.

Faktor penyebaran: Angin sekitar 14 km/j pada waktu kebakaran.

Tindakan: Polis menahan tiga pekerja syarikat pembinaan atas kecuaian melampau. Siasatan telah dilancarkan