Rumah pengumpul murai kampung diserbu

Iklan
Antara individu disiasat dan haiwan yang disita dalam serbuan di Mantin pada Rabu. Foto: PERHILITAN

MANTIN – Kegiatan mengumpul pelbagai spesies burung liar hasil pemburuan, dipercayai untuk dijual dan dijadikan haiwan peliharaan, terbongkar selepas serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Broga di sini pada Rabu.

Serbuan Op Bersepadu Khazanah (OBK) itu dijalankan sepasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan dijalankan kira-kira jam 12.25 tengah hari.

Menurutnya, tiga lelaki termasuk seorang warga Vietnam telah disiasat.

Iklan

“Dua serindit dan seekor rapang duit (red wattled lapwing) selain seekor kera telah disita hasil pemeriksaan di rumah itu.

“Nilai rampasan dianggar berjumlah RM5,000 dan kesemua tangkapan diberi jamin polis, manakala barang kes dibawa ke Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, suspek disyaki merupakan pengumpul murai kampung untuk pasaran tempatan.

Tambahnya, terdapat murai kampung dalam simpanan mereka dan suspek dipercayai turut menjalankan aktiviti penjualan spesies berkenaan.

“Jabatan masih menjalankan siasatan dan berkemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan murai kampung yang mana spesies berkenaan tidak disenaraikan dalam jadual Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Kita turut menyiasat sama ada sekiranya terdapat spesies hidupan liar lain yang turut menjadi mangsa kegiatan suspek,” ujarnya.