RANTAU PANJANG - Air Sungai Golok di sini mulai melimpah apabila parasnya telah mencecah 10.36 meter pada jam 5 petang melepasi tahap normal lima meter pada Khamis.
Tinjauan Sinar Harian di Pusat Pemeriksaan Kastam Zon Bebas Cukai Pintu Dua di sini mendapati orang ramai memenuhi kawasan tersebut untuk 'berpesta air' serta ia dipenuhi gerai jualan.
Tidak kira tua, muda atau kanak-kanak peluang tersebut tidak dilepaskan malah menjadi rutin setiap tahun apabila banjir.
Meskipun begitu kanak-kanak yang sedang mandi-manda sentiasa diawasi oleh golongan dewasa di samping mereka.
Lebih meriah lagi, gerai jualan seperti ayam goreng, sosej bakar dan bermacam-macam lagi turut dibuka bagi mengisi perut lapar selepas penat bermain air.
Menurut penduduk, Fadhli Mat Yusof, setiap kali banjir sudah menjadi rutin orang ramai akan datang ke Rantau Panjang untuk melihat air.
"Ada juga yang mengambil kesempatan bermain air. Sudah menjadi rutin tahunan setiap kali musim tengkujuh.
"Bagaimanapun diharap orang ramai yang datang mengutamakan keselamatan," katanya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, bermain air banjir tidak mendatangkan kesalahan bagaimanapun jika motosikal yang digunakan semasa berbuat demikian diubah suai serta tidak mempunyai lesen memandu tindakan akan diambil.
Katanya, ada yang merempit dalam air sehingga mengubah suai ekzos menjadi lebih tinggi untuk meredah banjir.
Nasihat beliau, boleh buat untuk kemudahan menyelamat tetapi bukan menyusahkan pengguna jalan raya lain. Ia boleh diambil tindakan atas kesalahan ubah suai.