PUTATAN - Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, demi memastikan pembangunan di Sabah dapat diteruskan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Karnival Harapan Urang Sabah di Putatan, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri itu perlu ada untuk memajukan Sabah.
Beliau berkata, oleh kerana PH tidak bertanding banyak kerusi, maka PH sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak.
Perdana Menteri berkata, kehadirannya di Sabah juga bukan untuk menabur janji baharu, sebaliknya menjelaskan usaha yang sedang dan sudah dilaksanakan kerajaan Persekutuan di negeri itu.
Anwar berkata, beliau mahu rakyat Sabah memahami inisiatif kerajaan Persekutuan yang telah dan sedang dilaksanakan, antaranya penyelesaian isu air, elektrik, Lebuhraya Pan Borneo dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Ini (inisiatif) bukan janji, ini sudah dilaksanakan. Ini sebabnya mengapa saya katakan, kita harus tahu faktanya,” kata Perdana Menteri.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17. - Bernama