PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis pada Khamis, berhubung klip video yang disiarkan di akaun Facebook berkenaan tohmahan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Laporan itu dibuat pegawai SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya susulan tohmahan dalam video perbualan melibatkan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dengan ahli perniagaan, Albert Tei.
Menurut sumber, laporan polis oleh pegawai SPRM ini bagi membolehkan pihak berkuasa terbabit menyiasat tohmahan terbabit.
"Perbualan itu menyebut bahawa seorang individu telah berjumpa dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan meminta supaya diringankan kes dihadapi Albert Tei selain supaya kes itu diselesaikan secara baik serta tidak berlarutan.
"Dalam laporan polis itu juga, pegawai SPRM berkenaan turut menyebut bahawa kandungan video terbabit berniat jahat bagi menjejaskan reputasi Ketua Pesuruhjaya SPRM sedangkan siasatan SPRM adalah telus dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun," katanya.
Tambah sumber, perbualan wanita dan ahli perniagaan sebagaimana dalam klip video terbabit ialah berniat jahat.
Jelasnya, ia bukan sahaja menjejaskan reputasi Ketua Pesuruhjaya SPRM, sebaliknya dipercayai bagi mencemar imej dan kredibiliti SPRM.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Strategik SPRM mengesahkan mengenai laporan polis yang dibuat oleh pegawai SPRM berkenaan.
"Laporan itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kedua-dua individu berkenaan," ujarnya.