Shamsul Iskandar dirakam keterangan esok

Iklan
Azam Baki

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dijangka hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung tohmahan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan, Albert Tei.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini seramai tiga individu akan dipanggil keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Iklan
Iklan

“Ia termasuk seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong yang tampil memberi keterangan kepada SPRM pada jam 2 petang hari ini.

“Kertas siasatan telah dibuka susulan laporan sebuah portal berita yang mendakwa Albert Tei memberi wang rasuah kepada Shamsul ketika beliau berkhidmat sebagai setiausaha politik kanan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Azam berkata, Shamsul akan hadir pada Jumaat kerana beliau berada di Kota Kinabalu, Sabah dan perlu mendapatkan penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

“Albert Tei pula akan dipanggil pada 1 Disember ini selepas memohon penangguhan ekoran masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Iklan

Beliau menegaskan semua individu yang diarahkan hadir perlu memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dapat diselesaikan segera.

“Saya sudah mengarahkan pegawai untuk menyiapkan siasatan dalam tempoh dua minggu. Kes ini dianggap serius untuk kami (SPRM) selesaikan secepat mungkin,” katanya.

Pada Selasa, Shamsul Iskandar mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul Iskandar dalam kenyataan di platform X berkata, terdapat percubaan untuk menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI.

Terdahulu, Anwar dalam satu kenyataan pada Rabu menerima peletakan jawatan Shamsul Iskandar menegaskan SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan luar berhubung tuduhan terhadap bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.