Maut dilanggar pikap polis: Keluarga akan ambil tindakan, tuntut keadilan buat Firdaus

Iklan
Nor Fariza menunjukkan gambar arwah Muhammad Firdaus Aiman.

ALOR SETAR - Mangsa maut akibat dirempuh pikap polis dalam kejadian di Jalan Persiaran Wawasan berhampiran Mini Putrajaya, Perlis pada Selasa dikatakan baharu sahaja membuat panggilan video kepada ibu saudaranya petang kejadian.

Nor Fariza Hazain, 39, dari Pulau Pinang berkata, mangsa, Muhammad Firdaus Aiman Zainon, 24, memaklumkan kepadanya tentang rumah di kampung mereka ditenggelami air.

Iklan
Iklan

"Dia sempat 'video call' petang itu untuk beritahu rumah yang dia duduk dengan tok dan tokwan di Kampung Titi Tok Bandar masuk air banjir.

"Saya memang nak balik nak angkat barang tapi di Penang pun hujan lebat jadi saya tangguh dulu...lepas tu dapat call dari anak saudara saya yang juga sepupu dia, bagitau arwah kemalangan," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada Rabu.

Iklan

Muhammad Firdaus Aiman

Nor Fariza bagaimanapun terkejut kerana semasa dalam kejadian balik ke Perlis, mendapat panggilan telefon sekali lagi bahawa arwah yang dipelihara sejak kecil sudah meninggal dunia.

Iklan

Berhubung kejadian yang menimpa Muhammad Firdaus yang dilanggar sebuah kenderaan peronda polis, Nor Fariza menjelaskan, pihak keluarga akan menuntut keadilan.

"Insya-ALLAH saya akan ambil tindakan tuntut keadilan untuk arwah," katanya.

Jelasnya, arwah seorang cucu kesayangan yang baik dan sentiasa peka terhadap keperluan dan kebajikan datuk dan neneknya.

Dalam insiden kira-kira jam 10.20 malam, Muhammad Firdaus Aiman dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi penunggang motosikal, Aliff Noorhakim Alijesree, 25, dilaporkan cedera di muka.

Lokasi kejadian kemalangan yang menyebabkan mangsa maut. Foto tular

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan pikap polis dikatakan merempuh mangsa ketika melalui jalan terbabit.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan pikap polis dipercayai hilang kawalan dan termasuk sedikit ke laluan bertentangan lalu berlanggar dua mangsa yang menunggang dua buah motosikal," katanya.

"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, polis menahan seorang anggotanya selepas sebuah kenderaan peronda yang dipandu bertembung dengan dua buah motosikal di lokasi kejadian.