KUALA LUMPUR - Isu peribadi disyaki motif serangan terhadap wartawan sukan, Haresh Deol di Bangsar di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, motif insiden itu adalah lebih kepada peribadi.
"Kes masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Chang Hook berkata, semakan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian itu adalah seorang penganggur.
Terdahulu, Chang Hook memaklumkan suspek itu ditahan di Taman Ikan Emas di sini, kira-kira jam 2 pagi Rabu.
Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Chang Hook pada Selasa mengesahkan polis menerima laporan daripada Haresh yang juga wartawan portal berhubung kejadian itu pada jam 4 petang di Pondok Polis Bangsar.
Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah ketika Haresh sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.