10 rakyat Malaysia masih terkandas di Thailand

Iklan
Nurul Saffinar berkongsi keadaan banjir di lokasi mereka berada.

SHAH ALAM – Seramai 10 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di Thailand sejak Jumaat lalu susulan banjir besar yang melanda negara berkenaan.

Seorang mangsa, Nurul Saffinar Abd Rasid, 38 berkata, dia terkandas bersama suami, Mohd Ekhwan Tesno, 38, serta dua anak mereka yang masing-masing berusia sembilan dan lima tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka kini berada di PS Thungsao Hotel yang terletak berhampiran Terminal Bas Hat Yai.

“Di sini terdapat kira-kira 10 warga Malaysia. Kami telah cuba menghubungi Konsulat Malaysia namun setakat ini masih belum menerima sebarang bantuan menyelamat atau bekalan makanan.

Iklan

“Kami juga sedang berusaha mendapatkan bantuan melalui beberapa kenalan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Nurul Saffinar memaklumkan, mereka ke Hat Yai dengan menaiki kereta sendiri namun kenderaan tersebut telah ditenggelami air, sekali gus menyukarkan mereka untuk keluar dari kawasan itu.

Iklan

“Kami telah terputus bekalan makanan, elektrik dan air bersih sejak tiga hari lalu. Malam semalam (25 November), kedua-dua anak kami muntah ketika sedang tidur dan kami mengesyaki ia mungkin disebabkan perut kosong.

“Anak-anak juga mengalami beberapa kesan gigitan nyamuk pada badan dan kami amat bimbang kesihatan mereka akan merosot,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, mereka kini amat terdesak untuk dipindahkan ke tempat yang lebih selamat terutamanya untuk kembali ke Malaysia.

Tambahnya, mereka turut membuat hebahan di media sosial sebagai usaha terakhir sementara baki bateri telefon masih sekitar 20 peratus.

“Kami memohon jasa baik pihak berkuasa, sukarelawan atau pihak berkaitan untuk membantu kami secepat mungkin. Kami juga memohon doa orang ramai agar permohonan ini sampai kepada pihak yang dapat membantu,” katanya.