SHAH ALAM – Video tular dalam talian yang menampilkan seorang wanita dengan wajah disembunyikan serta suara lelaki tidak dikenali tidak boleh dijadikan bukti terhadap Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, video yang disunting itu hanya memuatkan tuduhan samar mengenai kononnya satu plot melibatkan Perdana Menteri.
“Mari kita jelaskan dengan tegas: video seperti ini bukan bukti kepada apa-apa.
“Perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan tidak jujur bagi sesiapa menggunakan klip sebegini untuk menyerang Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau menegaskan pihak yang membuat tuduhan sepatutnya mengemukakan bukti sebenar dan berdiri teguh dengan dakwaan mereka secara terbuka.
“Bersembunyi di sebalik penyelewengan dan anonimiti menunjukkan kredibiliti mereka yang sebenar,” katanya.
Lip Eng juga turut menasihatkan orang ramai agar tidak diperdaya helah politik murah.
Menurutnya, Perdana Menteri tidak sepatutnya dinilai berdasarkan bayangan dan khabar angin yang dicipta untuk drama tular sebaliknya hanya berdasarkan fakta yang boleh disahkan.
“Malaysia layak untuk sesuatu yang lebih baik daripada tuduhan tanpa asas yang disamarkan sebagai pendedahan,” tambahnya.