SANDAKAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum yakin mampu memenangi hati rakyat pada 29 November ini.
Abdul Said Pimping berkata, sokongan terhadap PH dilihat semakin bertambah dari hari ke hari.
Menurutnya, komuniti Cina turut menunjukkan sokongan yang baik di kawasan tersebut.
"Alhamdulillah di kawasan Gum-Gum, situasi dan momentum daripada awal hingga saat kita berkempen mendapat sambutan masyarakat khususnya di kawasan Melayu yang semakin meningkat.
"Saya juga berani menyatakan walaupun ada desas-desus setakat ini undian 'lebih' kepada Warisan, tapi alhamdulillah dalam minggu ini kehadiran komuniti Cina di Sendala dan Batu 8 Jalan Labuk amat memberansangkan.
"Saya yakin akan memberi satu kelebihan kepada PH kepada pilihan raya kali ini," katanya dalam sidang media ketika melawat Pusat Media di Sandakan pada Rabu.
Beliau berkata, jika momentum itu dapat dikekalkan, ia mampu memberi keputusan yang baik kepada PH.
Mengulas baki dua hari kempen, Abdul Said berkata, pihaknya tidak mempunyai strategi khusus.
"Dari segi strategi, saya tiada strategi yang sulit.
"Strateginya, saya akan cuba menghadiri mana-mana program dan ceramah kelompok kerana dengan ceramah itu, saya akan memperjelaskan kelebihan diri," katanya.