KUALA TERENGGANU - Operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Paya Besar, Serada di sini menarik perhatian apabila seekor kucing berwarna oren atau lebih sinonim dengan gelaran 'oyen' milik mangsa banjir yang terperangkap dalam bencana itu turut diselamatkan.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, haiwan tersebut bersama mangsa banjir lain di kawasan itu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di sini sekitar jam 10 pagi pada Rabu.
Difahamkan, hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan kediaman mangsa digenangi air kira-kira 0.5 meter dan situasi sama masih berlarutan sehingga kini.
"Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Terengganu bergegas ke lokasi bagi menyelamatkan mangsa untuk dibawa ke PPS.
"Ketika ini seramai 39 mangsa dari 20 keluarga berlindung di PPS itu," menurut JPBN Terengganu.
Data terkini setakat jam 12 tengah hari di portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada Rabu melaporkan seramai 1,857 mangsa banjir daripada 598 keluarga dipindahkan ke 30 PPS di negeri itu.
Hulu Terengganu menjadi daerah terbaharu dilanda banjir selepas Marang, Besut, Setiu, Dungun dan Kuala Terengganu, menjadikan keseluruhan enam daerah terjejas setakat ini.