MELAKA – Sebuah Toyota Vellfire menggunakan nombor pendaftaran milik Perodua Kancil disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam satu pemeriksaan di Jalan Tun Mutahir di sini pada Selasa.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pegawai penguat kuasa mengekori kenderaan mewah yang dipandu lelaki berusia 39 tahun itu selepas mendapati nombor pendaftaran yang digunakan mencurigakan.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati nombor pendaftaran yang dipamerkan sebenarnya milik sebuah Perodua Kancil, bukan Vellfire tersebut.
“Pemeriksaan turut mendapati kenderaan itu tidak memiliki perlindungan insurans yang sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) didapati tamat tempoh sejak Januari 2025.
“Lelaki berkenaan juga mengakui menggunakan nombor pendaftaran Perodua Kancil miliknya sendiri selepas cukai jalan Toyota Vellfire tamat tempoh,” katanya.
Beliau berkata, kenderaan berkenaan disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
Katanya, JPJ Melaka akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang memalsukan atau menyalahgunakan nombor pendaftaran kenderaan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.