PEMALANG - Hubungan terlarang seorang wanita bersama lelaki berstatus suami orang berakhir dengan kematian dalam satu kejadian menggemparkan.
Mangsa dikenali sebagai K, 35, di Pemalang, Jawa Tengah di Indonesia dibunuh kekasih gelapnya, Slamet Romadon, 37.
Kejadian itu berlaku selepas hubungan mereka diketahui isteri Slamet sehingga mencetuskan pergaduhan mulut antara pasangan tersebut.
Pihak berkuasa memaklumkan jasad K ditemui dalam keadaan terikat dan kepalanya dibungkus plastik di sebuah rumah di Desa Saradan.
"Suspek berjaya diberkas pada malam Isnin di wilayah Desa Sewaka, sehari selepas mayat wanita itu ditemui.
"Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat komunikasi terakhir mangsa bersama pelaku," kata AKP Johan Widodo.
Menurutnya, mangsa mengugut mahu menyebarkan foto intim mereka kepada keluarga Slamet sehingga mencetuskan kemarahannya.
"Pelaku yang tidak dapat menahan amarah bertindak mencekik dan memukul K beberapa kali.
"Dia kemudiannya mengikat tangan, kaki dan leher sebelum mengheretnya ke bilik air.
"Kepala mangsa turut ditutup dengan plastik hingga dia meninggal dunia akibat lemas," jelas Johan lagi. - Agensi