DRB-HICOM Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM12.74 bilion dengan keuntungan pra-cukai (PBT) berjumlah RM280.55 juta bagi tempoh sembilan bulan tahun ini.
Konglomerat itu dalam satu kenyataan berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 4.2 peratus berbanding hasil bagi tempoh sembilan bulan tahun lalu, RM12.23 bilion dengan PBT sebanyak RM282.56 juta.
Bagi suku ketiga tahun ini, DRB-Hicom mencatatkan keuntungan PBT sebanyak RM64.74 disokong oleh hasil sebanyak RM4.49 bilion.
Prestasi yang lebih kukuh bagi suku ketiga tahun ini didorong oleh hasil jualan yang lebih tinggi merentasi semua sektor perniagaan iaitu automotif, hartanah, aeroangkasa dan pertahanan, perbankan, pos serta perkhidmatan.
“Bagi sektor automotif, hasil meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada RM8.84 bilion berbanding RM8.46 bilion (tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu), terutamanya disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi, disokong oleh campuran jualan menggalakkan dan peningkatan sumbangan daripada syarikat pengedaran automotif.
“Sektor perbankan, hasil meningkat sebanyak empat peratus kepada RM1.65 bilion berbanding RM1.59 bilion tahun lalu, didorong oleh pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi, disokong oleh pertumbuhan perniagaan mampan serta peningkatan bilangan pelanggan,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, sektor pos mencatatkan hasil berjumlah RM1.34 bilion, disokong oleh jumlah bungkusan lebih tinggi dan pertumbuhan dalam aktiviti kargo serta katering dalam penerbangan.
Sektor aeroangkasa dan pertahanan merekodkan penurunan hasil sebanyak 6.7 peratus kepada RM544.88 juta disebabkan permintaan lemah daripada syarikat penerbangan berikutan pengurangan penghantaran pesawat lorong tunggal dan komponen pesawat tertentu.
Sektor hartanah meraih peningkatan hasil kepada RM197.68 juta yang disokong oleh kemajuan dalam projek pembangunan konsesi hartanah.
Manakala, sektor perkhidmatan menyaksikan pertambahan hasil meningkat kepada RM158.57 juta, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan jumlah kenderaan komersial yang menjalani pemeriksaan dalam segmen perniagaan pemeriksaan kenderaan.
DRB-Hicom turut menjangkakan prospek sederhana bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025.
“Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan yang stabil, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan. Cabaran luaran terus memberi tekanan kepada prestasi keseluruhan dan prospek industri.
“Walaupun persekitaran perniagaan kekal mencabar, DRB-Hicom komited terhadap agenda pendigitalan, mengoptimumkan operasi dan meningkatkan kecekapan merentasi semua segmen,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.