Dubai, Malaysia giat rangsang pertumbuhan perdagangan dan pelaburan bersama
Iklan
Dubai Chambers dan NCCIM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan hubungan perdagangan dua hala.
DEWAN Perniagaan Dubai, salah satu daripada tiga dewan di bawah Dubai Chambers, menganjurkan siri mesyuarat perniagaan dua hala melibatkan syarikat Malaysia dan Dubai bagi memperkukuh kerjasama serta merangsang pertumbuhan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pasaran.
Menerusi inisiatif ‘New Horizons’, sebanyak 20 syarikat Dubai menyertai misi perdagangan meliputi pelbagai sektor antaranya ICT dan inovasi, makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, farmaseutikal, bioteknologi, tekstil, pelancongan dan hospitaliti, kecantikan, pembinaan, kejuruteraan, minyak dan gas serta barangan pengguna (FMCG).
Iklan
Iklan
Naib Presiden Eksekutif Perhubungan Antarabangsa Dubai Chambers, Salem AlShamsi berkata, pihaknya komited mengembangkan rangkaian perdagangan dan pelaburan dengan pasaran global berpotensi tinggi sekali gus mengukuhkan kedudukan Dubai sebagai pemacu utama perdagangan antarabangsa.
“Misi perdagangan kami ke Malaysia merupakan langkah penting untuk meneroka peluang baharu di peringkat global serta membina kerjasama yang menyumbang kepada pertumbuhan perdagangan dan pelaburan,” katanya pada forum 'Doing Business with Malaysia' yang dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCIM) serta Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Kuala Lumpur.
Iklan
Forum yang menampilkan Pengarah Kanan, Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN, MITI, Dr Sugumari S Shanmugam, Duta UAE ke Malaysia, TYT Dr Mubarak Saeed Aldhaheri, Salem AlShamsi dan Presiden NCCIM, Datuk Seri N Gobalakrishnan itu menarik penyertaan pegawai kanan, pemimpin perniagaan dan syarikat Malaysia yang berminat meneroka peluang kerjasama dengan ahli delegasi dewan.
Menurut Sugumari, UAE sentiasa menjadi salah satu rakan perdagangan paling penting Malaysia di rantau Asia Barat.
Iklan
“Pada tahun 2024, UAE merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sekali gus menjadi bukti jelas tentang kedalaman dan ketahanan perkongsian ekonomi kita.
“Kita telah menyaksikan pertumbuhan dan kemakmuran yang kukuh dalam hubungan ekonomi.
"Dasar awam yang mantap dan sektor swasta yang dinamik telah memupuk kerjasama rapat serta meningkatkan hubungan komersial dan pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya.
Pada forum sama, Dubai Chambers dan NCCIM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan hubungan perdagangan dua hala serta mengeratkan hubungan antara komuniti perniagaan di Dubai dan Malaysia.
MoU tersebut memperincikan langkah-langkah untuk meningkatkan kerjasama dalam penganjuran misi perdagangan dan acara perniagaan.
Gobalakrishnan berkata,Malaysia menawarkan persekitaran yang stabil dan mesra perniagaan disokong oleh rangkaian hubungan yang kukuh, tenaga kerja mahir, rangka kerja undang-undang yang mantap serta ekonomi yang pelbagai.
Sama ada dalam sektor kewangan Islam, ekonomi digital, produk halal, teknologi bersih, logistik, pembuatan atau pelaburan, Malaysia bersedia sebagai pintu masuk strategik ke ASEAN, salah satu pasaran yang paling pesat berkembang di dunia.
“NCCIM komited untuk bekerjasama rapat dengan Dubai Chamber, agensi kerajaan dan komuniti perniagaan bagi memudahkan perkongsian, menyelesaikan cabaran dan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan bersama.
“Kami percaya bahawa apabila dewan-dewan perniagaan kita bekerjasama, perniagaan kita berkembang, dan apabila perniagaan kita berkembang, rakyat kita mendapat manfaat.
“Kami turut berharap Malaysia dipertimbangkan bukan sahaja sebagai pasaran tetapi juga sebagai rakan kongsi jangka panjang. Kami menantikan hubungan Malaysia-UAE yang lebih kukuh dan dinamik pada masa akan datang,” katanya.
Dalam sesi pembentangan, Dewan Perniagaan Dubai turut menjelaskan landskap ekonomi Emiriah itu yang menawarkan kelebihan kompetitif kepada syarikat Malaysia yang ingin mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pula mengetengahkan kekuatan ekonomi Malaysia serta sektor utama yang menawarkan peluang pelaburan menarik kepada syarikat Dubai.
Untuk rekod, nilai perdagangan bukan minyak antara Malaysia dan Dubai mencecah AS$4.9 bilion pada tahun 2024 menunjukkan pertumbuhan tahunan yang memberangsangkan sebanyak 20 peratus.
Sementara itu, bilangan syarikat Malaysia yang berdaftar sebagai ahli aktif Dewan Perniagaan Dubai meningkat kepada 318 sehingga akhir September, dengan 73 syarikat Malaysia baharu menyertai dewan tersebut dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025.
Lebih mengujakan, Dewan Perniagaan Dubai telah mengenal pasti beberapa produk berpotensi tinggi untuk dieksport dari Dubai ke Malaysia termasuk bahan kimia organik dan bukan organik, alat ganti pesawat dan kapal angkasa, turbo-jet dan turbo-propeller, plastik, tembaga, besi, dan nikel, serta kopi, teh dan produk tenusu.
Sektor pelaburan utama di Malaysia pula menawarkan pelbagai peluang untuk syarikat berpangkalan di Dubai termasuk pengangkutan dan penggudangan, hartanah, hotel dan pelancongan, plastik, perkhidmatan perniagaan serta penjagaan kesihatan.
Hamidah Sulaiman, 51, yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata, perjalanan lebih 18 tahun dalam dunia keusahawanan membuktikan industri makanan tradisional masih relevan serta berpotensi besar jika diusahakan secara strategik dan berdisiplin.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/762391/bisnes/daripada-dapur-rumah-ke-kilang-sendiri
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.