RSF umum gencatan senjata unilateral

Iklan
Golongan wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa utama konflik bersenjata tersebut.

KHARTOUM - Pasukan Sokongan Pantas (RSF) pada Isnin mengumumkan gencatan senjata unilateral selama tiga bulan, sehari selepas seteru mereka menolak cadangan perjanjian damai dikemukakan Amerika Syarikat (AS).

Angkatan separa tentera yang bertempur dengan askar pimpinan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan sejak April 2023 memaklumkan pengisytiharan tempoh bertenang sebelah pihak itu dibuat sebagai respons terhadap usaha empat negara perantara proses tersebut termasuk Presiden Donald Trump.

Iklan
Iklan

Mesej itu disampaikan menerusi rakaman mesej video oleh komander RSF, Mohamed Hamdan Daglo yang juga bekas timbalan Burhan.

Pada Ahad, Burhan dengan lantang menggelar cadangan disampaikan Wakil AS, Massad Boulos bagi pihak negara perantara sebagai 'kertas kerja terburuk' dan tidak diterima kerajaan pimpinannya yang berpusat di Pelabuhan Sudan.

Iklan

Pemimpin de facto itu turut mendakwa idea proses damai itu 'berat sebelah' kerana tidak berpuas hati dengan penyertaan Abu Dhabi selaku negara perantara selain cadangan supaya membubarkan angkatan tentera pimpinannya, namun mengekalkan kedudukan militia.

Konflik tiada kesudahan itu kembali meraih perhatian komuniti antarabangsa setelah RSF merampas El-Fasher yang merupakan bandar utama Darfur pada bulan lalu hingga mengundang kebimbangan tentang isu jenayah kemanusiaan dan genosid yang berleluasa ke atas orang awam.

Iklan

Sejak lebih dua tahun lalu, pihak bertelagah di Sudan melanggar setiap perjanjian gencatan senjata di samping proses rundingan damai untuk menghentikan sengketa terus menemui jalan buntu. - AFP