Tak pernah tolak bantuan tapi mesti ikut prosedur - Nadma

Iklan
Meor Ismail (kiri) melawat mangsa banjir yang berada di PPS di SMK Geting. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

TUMPAT - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengalu-alukan sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), namun mestilah melalui prosedur yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Nadma, Meor Ismail Meor Akim berkata, setakat ini pihaknya menerima satu aduan berkaitan penyelarasan bantuan daripada NGO ke satu PPS di negeri ini.

Iklan
Iklan

Berhubung perkara itu, beliau menjelaskan bahawa garis panduan yang dikuatkuasakan bukan bertujuan menyekat mana-mana pihak tetapi untuk mengelakkan keadaan tidak teratur di PPS.

“Kami alu-alukan bantuan, tak pernah tolak tapi mesti ikut prosedur.

Iklan

Meor Ismail (tengah) mendengar penerangan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

“Ini bukan soal kawalan tapi penyelarasan supaya tidak bertindan sebab kadang-kala satu PPS terima terlalu banyak barang yang sama seperti air minuman, sedangkan PPS lain kekurangan,” katanya ketika melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting di sini pada Selasa.

Iklan

Pada Isnin, tular dakwaan di media sosial berhubung satu NGO yang dikatakan tidak dapat menyalurkan bantuan air mineral, makanan kering, set kebersihan diri untuk mangsa banjir di sebuah PPS di Bachok.

Meor Ismail berkata, mana-mana NGO yang ingin menghantar bantuan ke PPS perlu berhubung sama ada melalui Ketua Jajahan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) atau mendapatkan kelulusan Ketua Polis Daerah.

“Hubungi sahaja, mereka beroperasi 24 jam,” katanya lagi.

Mengulas mengenai bantuan kepada mangsa yang tidak berpindah ke PPS, beliau menjelaskan bahawa NGO bebas menyalurkan bantuan secara terus kepada keluarga terlibat.