JOHOR BAHRU – Seramai 29 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam operasi bersepadu di kawasan komersial, hotel dan premis makanan sekitar bandar raya ini pada Isnin
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi dijalankan pada jam 11 pagi hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan.
"Lokasi terbabit dipercayai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral dengan bayaran RM260 setiap langganan perkhidmatan.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warganegara Myanmar, 13 lelaki warganegara Indonesia, lapan perempuan warganegara Indonesia, empat perempuan warganegara Laos dan dua perempuan warganegara Myanmar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, kesemua tahanan berusia antara 22 hingga 52 tahun dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut, manakala dua borang 29 (saman saksi) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
"JIM Johor akan terus memperkasa penguatkuasaan dan tidak berkompromi dengan majikan, pemilik premis atau individu yang menggajikan serta melindungi pendatang tanpa izin," ujarnya.