Momentum Seri Pristana kian menyala

Iklan
Pasukan SK Seri Pristana akan berdepan SK Binjai Jaya K11 di Pusingan 16 Piala Raja Muda Selangor B-12 2025 pada Selasa ini.

NAIB juara Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 (B-12) Tahun musim lalu, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana meneruskan prestasi cemerlang apabila layak ke pusingan 16 edisi 2025 setelah mengungguli saingan Kumpulan E.

Seri Pristana sebelum ini bermula kurang baik apabila tewas 0-2 kepada penyandang juara, SK Seksyen 20 dalam aksi pembuka musim Piala Sumbangsih di Padang SK Putra Heights 2.

Iklan
Iklan

Namun, skuad kendalian Mohd Zubaidi Mat Akhir itu segera bangkit mempamerkan karekter diperkukuh disiplin bertahan untuk menamatkan cabaran kumpulan dengan sembilan mata maksimum.

Seri Pristana kini bakal berdepan naib juara Kumpulan D, SK Binjai Jaya K11 di venue sama pada Selasa, sambil menyimpan tekad memperbaiki episod duka final musim lalu apabila tunduk menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 di Padang SUK Latihan Selangor.

Iklan

Mohd Zubaidi berkata, pencapaian di peringkat kumpulan adalah hasil pematuhan taktikal pemain yang sentiasa berwaspada mengelakkan kesilapan, selain berjaya menyekat pengaruh pemain utama lawan.

Beliau turut menjelaskan intensiti serangan hadir melalui latihan berterusan yang meningkatkan keyakinan pasukan untuk memenangi bola dan menguasai permainan.

Iklan

“Alhamdulillah, kami berjaya mencapai sasaran mata penuh untuk elak laluan sukar di ‘last 16’.

“Pemain kekal berdisiplin di zon pertahanan dan kami fokus merantai pemain berbahaya lawan. Kreativiti pemain dalam melaksanakan arahan banyak membantu keseimbangan permainan,” katanya kepada Sinar Harian.

Zubaidi menegaskan Seri Pristana akan mengekalkan gaya permainan penguasaan bola serta tekanan tinggi yang menjadi identiti pasukan, namun tetap berwaspada terhadap serangan balas lawan.

“Ya, ball possession dan high pressing adalah identiti kami. Tapi kami tidak boleh memandang ringan ancaman serangan pantas dari SK Binjai Jaya. Pertahanan akan sentiasa bersedia dan fokus sepanjang permainan, insya-ALLAH,” katanya.

Sebagai rekod, kejohanan yang memasuki fasa 16 terbaik terus menerima sokongan padu Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad selaku penaja utama, manakala Sinar Harian bertindak sebagai media rasmi.

Pasukan terbaik turut berpeluang membawa pulang ganjaran lumayan dengan juara menerima RM5,000 beserta pingat, naib juara RM4,000, tempat ketiga RM3,000 dan tempat keempat RM2,000, masing-masing turut disertakan pingat.

PIALA RAJA MUDA SELANGOR B-12 2025

PUSINGAN 16 TERBAIK

SELASA (25 NOVEMBER)

SK Seksyen 20 lwn SK Taman Tun Teja

(Padang SK Sungai Lang, 8.30 pagi)

SK Dusun Tua lwn SK Ulu Yam Bharu

(Padang SK Putra Heights 2, 8.30 pagi)

SK Damansara Damai 2 lwn SK Sungai Lang

(Padang SK Sungai Lang, 9.45 pagi)

SK Dusun Nanding lwn SK Seksyen 9

(Padang SK Putra Heights 2, 9.45 pagi)

SK Seri Pristana lwn SK Binjai Jaya K11

(Padang SK Putra Heights 2, 3.30 petang)

SK Dato’ Maharaja Lela lwn SK Kebun Baharu

(Padang SK Sungai Lang, 3.30 petang)

SK TUDM Subang lwn SK Taman Universiti

(Padang SK Putra Heights 2, 4.45 petang)

SK Serdang lwn SK Saujana Utama

(Padang SK Sungai Lang, 4.45 petang)