SEREMBAN - Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Taman AST di sini yang mengakibatkan seorang lelaki maut pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata, kedua-dua suspek berusia 40-an dan 50-an itu ditahan di sekitar daerah ini pada Isnin.
"Polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Suspek kini direman lima hari bermula hari ini selepas permohonan dibuat di Mahkamah Seremban," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, pihaknya telah menerima laporan berkaitan pergaduhan di lokasi pada jam 8.20 pagi hari kejadian.
Tambahnya, siasatan mendapati, pergaduhan yang berlaku adalah sesama sendiri dan kejadian itu mengakibatkan salah seorang cedera dan tidak sedarkan diri.
"Mangsa berusia 40-an telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut,namun disahkan meninggal dunia semasa pemeriksaan doktor.
"Justeru orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak benar berkenaan insiden tersebut," katanya.
Beliau berkata, mana-mana individu yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan dan boleh berhubung di mana-mana balai polis berhampiran.
Sebelum ini media melaporkan, lelaki maut dipercayai ditikam dan dipukul dalam pergaduhan berkumpulan di sebuah pusat hiburan kira-kira jam 3 pagi.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCVT) di premis berkenaan tular dan memaparkan mangsa cuba melarikan diri selepas dikejar sekumpulan lelaki sebelum dibelasah termasuk menggunakan kerusi dan kotak.
Ends..