HULU TERENGGANU - Polis mengesahkan tiada kes penculikan kanak-kanak sekolah melibatkan suspek wanita bertudung labuh seperti ditularkan di media sosial.
Sebaliknya, hanya salah faham berhubung kejadian berkenaan yang berlaku di sebuah sekolah di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat awal sekitar jam 7.30 pagi Isnin daripada pihak sekolah memaklumkan seorang murid Tahun Tiga didakwa dibawa lari oleh seorang wanita tidak dikenali menaiki kereta berwarna hitam.
Beliau berkata, siasatan mendapati murid terbabit dihantar bapanya ke sekolah pada jam 6.35 pagi ketika keadaan masih gelap dan hujan lebat menyebabkan mangsa ketakutan.
"Mangsa telah ditegur seorang wanita dewasa yang dipercayai ibu kepada seorang pelajar lain. Murid itu kemudian meminta wanita berkenaan menghantarnya pulang dan wanita tersebut kemudiannya bersetuju lalu membawa mangsa menaiki kereta miliknya.
"Mangsa menunjukkan laluan pulang ke rumah sebelum meminta kenderaan diberhentikan di pertengahan jalan dan berjalan kaki ke rumahnya yang terletak berhampiran kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Sharudin berkata, ibu mangsa tampil membuat laporan pada jam 12.35 tengah hari, hari sama di Balai Polis Ajil bagi menafikan berlakunya sebarang unsur penculikan.
Katanya, murid tersebut juga disahkan berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.
Sehubungan itu beliau menasihatkan ibu bapa serta pihak sekolah agar lebih peka terhadap keselamatan pelajar terutama pada waktu pagi ketika keadaan masih gelap.
"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat atau menyebarkan spekulasi tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran awam,"ujarnya.
Pada Isnin tular hantaran di media sosial mendakwa berlaku kes penculikan di sebuah sekolah rendah di Ajil di sini.
Hantaran tersebut mendakwa murid berkenaan telah dilarikan sebuah kereta namun ditinggalkan di tepi jalan selepas mengamuk dan mangsa dikatakan telah berlari pulang ke rumah.