Banjir Hatyai: Operasi pindah pelajar UUM, pensyarah tangguh seketika

Iklan
Kawasan berdekatan hotel yang menempatkan pelajar UUM dinaiki air.

SINTOK - Operasi pemindahan 40 pelajar termasuk pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) ke tempat yang selamat ditangguhkan sementara berikutan hujan lebat melanda Hatyai, Thailand.

UUM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan itu dibuat setelah mendapat makluman berhubung situasi semasa selain mengambil kira arahan dari pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, koordinasi antara Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan pihak berkuasa tempatan di Hatyai hanya akan dilaksanakan secepat mungkin apabila hujan mulai reda.

"Seramai 40 pelajar serta empat pensyarah pengiring daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz yang mengikuti program Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 telah terkandas buat sementara waktu di Hatyai sejak 22 November lalu.

Iklan

"Pihak universiti ingin menegaskan bahawa kebajikan dan keselamatan semua pelajar serta staf adalah keutamaan UUM dan kini sedang memantau keadaan ini secara berterusan," kata kenyataan itu.

Menurutnya, pihak universiti sentiasa berhubung rapat dengan Konsulat Malaysia di Hatyai bagi memastikan bantuan dan sokongan dapat diberikan segera.

Iklan

Setakat ini, kesemua pelajar dan pensyarah pengiring dilaporkan dalam keadaan selamat.

"Pihak universiti sedang menyelaras tindakan yang perlu bagi memastikan urusan kumpulan ini dapat diteruskan dengan baik setelah keadaan kembali pulih," katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed di talian 019-450 5656.