IPOH -"Situasi sangat mendebarkan, hampir 10 jam kami berusaha keluar dari Hatyai.”
Demikian perkongsian Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie, selepas rombongannya terperangkap dalam banjir besar ketika bercuti di bandar tersebut.
Menurut Maziah, mereka tiba di Hatyai pada Jumaat lalu dan merancang pulang pada Ahad, namun cuaca buruk yang menyebabkan banjir melanda bandar itu menukar percutian santai kepada situasi mencemaskan.
Beliau berkata, seramai 16 ahli rombongan terdiri daripada 14 wanita dan dua lelaki berusia antara 33 hingga 73 tahun hanya sempat berjalan pada hari pertama sebelum keadaan berubah sepenuhnya keesokan harinya.
"Pada Sabtu, paras air naik mendadak sehingga elektrik dan bekalan air hotel terputus. Air mula masuk ke dalam bangunan hotel setinggi kira-kira dua kaki (0.6 meter) dan kami jadi semakin bimbang,” katanya kepada Sinar Harian.
Maziah berkata, mereka tidak tidur malam itu kerana berkumpul memikirkan cara untuk keluar selepas menerima makluman bahawa paras air dijangka meningkat lagi.
Katanya, pada jam 8.30 pagi Ahad, mereka membuat keputusan nekad meninggalkan hotel berkenaan meskipun banjir masih tinggi dan arus kuat.
“Kami redah banjir paras pinggang sambil jinjit beg sejauh hampir satu kilometer. Dalam keadaan itu, kami hanya tawakal dan berharap tidak berlaku perkara buruk,” jelasnya.
Tambah Maziah, selepas tiba di kawasan lebih tinggi, mereka terpaksa menunggu hampir 45 minit dalam keadaan hujan yang tidak berhenti selepas van ejen yang sepatutnya mengambil mereka turut tersadai kerana laluan dinaiki air.
Tambah Maziah, selepas lebih satu jam perjalanan menaiki van menuju ke sempadan Malaysia-Thailand di pintu masuk Padang Besar, Perlis, ahli rombongan dimaklumkan hanya lori besar mampu meredah laluan yang ditenggelami air.
“Kami akhirnya naik lori bersama puluhan rakyat Malaysia lain. Perjalanan itu mengambil masa hampir dua jam kerana banyak jalan ditutup dan air sangat deras,” ujarnya.
Menurutnya, lori tersebut meredah hampir 10 kilometer laluan banjir sebelum mereka berjaya tiba di sempadan Padang Besar sekitar jam 6 petang.
“Semuanya lega sebab berjaya keluar dari kawasan bencana. Kami kemudian menaiki van ejen dan selamat tiba di Teluk Muroh sekitar jam 2.30 pagi tadi (Isnin),” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh terperangkap, pihak hotel menyediakan makanan pagi dan petang, manakala ejen tempatan memberi kerjasama baik untuk membantu mereka keluar dari kawasan terjejas.
"Saya anggap pengalaman ini sebagai ujian. Paling penting, kami semua tiba di tanah air dalam keadaan sihat dan selamat," katanya.