Pencarum harap dividen KWSP naik

Iklan
KWSP mengumumkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2025. Gambar kecil: Nurhidayah Hairom

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan angka yang bukan sahaja besar, tetapi signifikan untuk jutaan pencarum yang bergantung kepada dana persaraan tersebut sebagai benteng kewangan masa depan.

Dalam kenyataannya minggu lalu, KWSP mengumumkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2025.

Iklan
Iklan

Ini merupakan peningkatan 11 peratus berbanding RM57.57 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Lebih menarik, bagi suku ketiga sahaja, KWSP merekodkan pendapatan RM25.07 bilion, meningkat 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada suku sama 2024.

Iklan

KWSP turut melaporkan, sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.37 trilion, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pelaburan antarabangsa pula merangkumi 39 peratus daripada jumlah aset, disokong oleh penilaian pasaran ekuiti global yang berdaya tahan.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn menjelaskan, pertumbuhan tersebut didorong prestasi kukuh pasaran ekuiti global dan domestik pasca ‘Liberation Day’, selain pelaksanaan alokasi aset strategik yang membolehkan KWSP memanfaatkan pemulihan tersebut.

Angka-angka itu mencerminkan satu momentum pemulihan yang bukan bersifat kosmetik tetapi hasil pengurusan profesional bersandarkan strategi jangka panjang.

Prestasi berkenaan juga memberi gambaran awal bahawa KWSP kini berada pada landasan yang cukup kukuh untuk menawarkan dividen yang lebih stabil, malah berpotensi lebih baik berbanding tahun lalu, sekiranya trend pasaran tidak berubah secara mendadak pada suku keempat.

Kenaikan pendapatan pelaburan sebanyak 11 peratus bukan sekadar angka pada kertas tetapi membuktikan strategi pelaburan KWSP memberi pulangan sebenar, sekali gus membuka ruang kepada mempertimbangkan kadar dividen yang lebih kompetitif.

Perkembangan tersebut tentunya memberi harapan besar buat pencarum untuk menikmati kadar dividen yang lebih tinggi lebih-lebih lagi sejak akaun tiga yang juga akaun fleksibel diperkenalkan.

Dengan tekanan kos sara hidup, gaji yang tidak meningkat pada kadar sama dan beban tunai jangka pendek yang makin mencabar, dividen KWSP menjadi antara saluran pulangan paling penting untuk jangka masa panjang dan suntikan dana kelangsungan hidup dalam jangka pendek.

Bagaimanapun realitinya, pencarum tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu melangit untuk menikmati kadar dividen terlalu tinggi mengambil kira cabaran KWSP untuk menguruskan lebih RM1 trilion aset.

Harus diingat, kadar dividen yang dibayar adalah hasil keseimbangan antara prestasi pasaran, strategi pelaburan dan keperluan mengekalkan kekuatan dana jangka panjang.

Walaupun KWSP sentiasa berhati-hati dalam memberi isyarat tentang dividen sebelum tiba masanya, naratif ekonomi bagi 2025 menyaksikan harapan lebih cerah.

Momentum

Jika momentum ketika ini kekal sehingga hujung tahun, penulis percaya, pencarum boleh menjangka sekurang-kurangnya dua perkara iaitu dividen yang lebih kukuh berbanding tahun lalu serta keyakinan baharu terhadap prospek simpanan persaraan mereka selepas beberapa tahun melalui ketidaktentuan.

Namun, tidak boleh dinafikan, pasaran global masih sarat dengan risiko geopolitik, peralihan kadar faedah dan ketegangan perdagangan yang boleh mengganggu prestasi ekuiti.

Keadaan tersebut menuntut KWSP mengambil kira semua faktor tersebut dalam alokasi asetnya.

Tetapi penulis percaya, setakat ini, angka yang dikongsikan menunjukkan dana persaraan terbesar negara ini bukan sahaja berada dalam fasa pemulihan, bahkan kembali memainkan peranan sebagai pemacu kestabilan ekonomi Malaysia.

Dalam konteks lebih luas, pengumuman KWSP ini adalah mesej penting bahawa institusi kewangan negara masih mampu mengemudi arus pasaran dan memberi nilai kepada rakyat.

Bagi pencarum, khabar tersebut sudah tentu melegakan kerana dalam dunia ekonomi yang tidak menentu, sekurang-kurangnya satu perkara masih boleh diharapkan iaitu dividen KWSP berpotensi kembali lebih kukuh.

*Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Sinar Harian