SHAH ALAM – Seorang pekerja wanita melalui detik mencemaskan apabila kakinya digigit seekor ular sawa ketika menggunakan tandas di sebuah farmasi di Setia Alam di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.46 petang.
“Seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong terus digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, setibanya pasukan bomba pada 4.04 petang, mereka mendapati mangsa seorang wanita berusia 23 tahun, telah digigit ular berkenaan ketika berada di dalam tandas premis tersebut.
"Anggota bomba berjaya melepaskan gigitan ular di kaki mangsa. Wanita itu diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan selanjutnya.
"Ular sawa sepanjang dua meter itu pula dilepaskan di tempat yang selamat," katanya.