MUAR - Dua penunggang motosikal maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di kilometer (km) 133.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, lewat malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, nahas berkenaan disyaki berlaku pada jam 11 malam melibatkan tiga motosikal dan sebuah lori di lokasi.
“Siasatan awal mendapati nahas berpunca apabila seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dipercayai sedang bergerak menghala ke arah Tangkak telah melanggar bahagian belakang kanan sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan lalu dirempuh oleh dua motosikal lain yang datang dari arah belakang.
“Akibatnya, dua penunggang motosikal berusia 20 dan 24 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala seorang lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Raiz Mukhliz, pemandu lori terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas tersebut.
Sementara itu, beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tidak kurang lima tahun jika sabit kesalahan.
“Saksi kejadian diminta menghubungi Inspektor Muhamad Azim Aziz di talian 018-970 4143 atau tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya serta mematuhi peraturan dan undang-undang bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna lain,” katanya.