JOHOR BAHRU - Dua lelaki maut apabila motosikal ditunggangi mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM133.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara dekat Muar malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian berlaku kira-kira 11 malam itu menyebabkan masing-masing yang berusia 20 dan 24 tahun meninggal dunia akibat cedera parah di kepala serta badan.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang berusia 20 tahun melanggar bahagian belakang kanan sebuah lori lalu hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan.
"Mangsa kemudian dirempuh dua motosikal termasuk motosikal ditunggang mangsa berusia 24 tahun itu dari arah belakang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera parah dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Raiz Mukhliz berkata pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan saksi kejadian diminta menghubungi Insp Muhamad Azim Aziz melalui talian 018-9704143 atau Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu di KOTA TINGGI, seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas di Jalan Waha, Felda Bukit Waha pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira 7 pagi dan kejadian berlaku ketika peneroka Felda berusia 75 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Masjid Jamek Felda Waha ke rumahnya.
"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini. - Bernama