YAN - Dua kanak-kanak yang maut ketika menunggang basikal akibat dirempuh sebuah kereta di Jalan Sedaka Tengah di sini dikatakan baharu selesai makan roti canai pagi Sabtu.
Adnan Saad, 49, berkata, anak bongsu daripada enam beradik, Muhammad Izhar, 10, dan rakan karibnya, Muhammad Zaid Haris Abdullah, 11, baru selesai bersarapan di gerai milik bapa rakannya itu tidak jauh dari rumah, berjarak kira-kira 500 meter, sebelum terlibat kemalangan.
"Dia habaq dekat mak nak pergi makan roti canai, mak tanya ada duit tak, ada, makan roti canai habis, naik basikal nak balik rumah.
"Lepas itu ada orang beritahu anak kemalangan, masa pergi tengok nampak dua orang termasuk anak peniaga roti canai seorang, anak saya seorang, mereka sudah kaku tepi jalan," katanya sebak.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua kanak-kanak yang sedang menunggang basikal, maut akibat dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah belakang.
Adnan menjelaskan, anaknya itu seorang yang ramah, mudah bergaul dan suka membantu orang ramai.
Selain itu, Adnan mengakui, Muhammad Izhar dan rakannya sering membantu kerja-kerja di Masjid Simpang 4 Sedaka di sini yang terletak bersebelahan rumah.
Menurutnya, sejak kecil anaknya itu sudah terbiasa ke masjid terutama ketika menunaikan solat lima waktu.
"Depa cerita dia seronok sangat kelmarin (Jumaat) orang sembelih kambing, cuci darah kambing dekat masjid, dia tolong pembantu masjid, bila jadi macam ini, depa sedihlah.
"Depa kata Izhar dah janji hari ni nak pi dekat Gurun ada makan-makan, janji nak pi sana, tak dan pasai dah jadi macam ni (kemalangan), itu yang orang-orang sini semua sedih," ujarnya.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.