Kemuka bukti Terengganu hanya dibenar urus 50 peratus royalti petroleum - PKR

Iklan
Perubahan dalam kaedah penyaluran royalti petroleum Kepada Terengganu berlaku selepas PRU15. Gambar kecil: Aiman. - Foto: Bernama

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar digesa mengemukakan bukti berhubung dakwaan bahawa kerajaan negeri hanya dibenarkan mengurus 50 peratus royalti petroleum dalam tempoh tiga tahun terakhir ini.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Aiman Wan Alias berkata, dakwaan tersebut disifatkan sebagai kenyataan 'tanpa bukti' yang boleh mengelirukan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dokumen rasmi perlu dikemukakan kerana ia bukan sahaja menimbulkan persoalan integriti pentadbiran malah membuka ruang kepada salah faham besar mengenai hak dan kedudukan kewangan negeri.

"Perjanjian Petronas-Terengganu 1975 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 masih menjadi asas undang-undang yang menetapkan pembayaran 5 peratus kepada negeri berdasarkan petroleum yang ditemui dalam kawasan negeri, menjadikan tuntutan pengurusan '100 peratus royalti' bercanggah dengan perjanjian asal.

Iklan

"Rekod undang-undang dan laporan audit negara menunjukkan sebaliknya, sekali gus mencetuskan tanda tanya baharu apakah benar wujud halangan 50 peratus, atau ia sekadar alasan untuk menutup kelemahan urus tadbir ekonomi negeri.

"Kalau dakwaan itu benar, kerajaan negeri sepatutnya mengemukakan bukti bukan sekadar membuat kenyataan politik," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurut Aiman, Akta Laut Wilayah 2012 mengehadkan sempadan laut negeri kepada tiga batu nautika dan sebarang tuntutan terhadap telaga petroleum perlu dibuktikan dahulu berada dalam sempadan itu.

"Kerajaan Negeri perlu membuktikan telaga-telaga petroleum berkaitan benar-benar dalam sempadan negeri sebelum membuat dakwaan jumlah yang besar.

"Laporan Ketua Audit Negara juga tidak membangkitkan sebarang isu penahanan 50 peratus royalti malah data rasmi menunjukkan jumlah peruntukan kepada Terengganu terus meningkat daripada RM1.15 bilion (2018) kepada RM1.55 bilion (2024).

"Tuduhan besar seperti ini memerlukan audit forensik, bukan kenyataan rambang. Jika dakwaan beliau benar, beliau sepatutnya merujuk kepada laporan audit atau menuntut audit forensik, bukan membuat kenyataan politik tanpa sandaran," ujarnya.

Aiman juga menempelak dasar ekonomi kerajaan negeri yang didakwa tidak berfokus, tidak strategik dan gagal menarik pelaburan bernilai tinggi sehingga menyebabkan anak muda berkemahiran terus berhijrah ke luar negeri.

Katanya, kerajaan negeri masih leka dengan agenda ‘kosmetik’ termasuk meluluskan skim pinjaman kenderaan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berjumlah RM6.4 juta yang sepatutnya boleh digunakan untuk memacu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), peluang pekerjaan dan sektor kritikal.

"Sudah tiba masanya kerajaan negeri 'melihat ke cermin', mengakui kelemahan dan menumpukan strategi jangka panjang demi pembangunan rakyat, bukan lagi retorik.

"Selagi kerajaan negeri tiada pelan ekonomi menyeluruh, selagi itulah Terengganu kekal rentan dan bergantung kepada hasil bumi," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Ahmad Samsuri mendakwa isu pembayaran royalti petroleum sejak 2022 menjadi 'episod hitam' yang mencalar hak pentadbiran negeri dan menjejaskan kelangsungan perancangan pembangunan untuk rakyat.

Katanya, perubahan dalam kaedah penyaluran royalti kepada Terengganu berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila kerajaan negeri hanya dibenarkan mengurus sekitar 50 peratus daripada keseluruhan jumlah bagi tempoh 2023 hingga 2025.