SELEPAS hampir dua dekad hanya dikenali melalui gema suara dalam karaoke dan rakaman lama, Shima kini tampil membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.
Dalam era digital yang dipenuhi bakat muda, penyanyi yang pernah mendominasi radio pada era 90-an itu kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu berjudul Tiada Erti, karya yang diharap dapat menjadi jambatan dirinya dengan generasi pendengar baharu.
Pemilik nama sebenar Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman itu mengakui sebahagian besar generasi muda mengenalinya melalui lagu-lagu karaoke seperti Teringin, Setelah Aku Kau Miliki dan Luka Dilukai, tanpa benar-benar mengikuti perkembangan terkininya.
Situasi itu membuatkan beliau berharap single terbaharu ini menjadi pintu masuk untuk memperkenalkan dirinya kepada kelompok pendengar baharu.
“Saya sedar ramai mengenali saya melalui lagu-lagu lama dalam karaoke. Bila saya menggunakan TikTok, ramai yang tidak percaya saya sudah berusia.
"Ada yang bertanya, ‘Betul ke ini Shima penyanyi itu?’ dan saya jawab, ‘Betul.’ Sebab itu saya berharap generasi baharu dapat mengenali saya melalui karya baharu ini, bukan hanya lagu-lagu lama,” katanya kepada Sinar Harian.
Selepas hampir 20 tahun tidak muncul dengan sebarang single, penyanyi bersuara lunak itu kembali menghangatkan industri dengan Tiada Erti, sebuah karya yang dianggap sebagai hadiah buat peminat yang sudah menanti terlalu lama.
Lagu ciptaan penuh Jari dan Chevy Amry daripada C.A.P (Chevy Amry Production) itu disempurnakan susunan muziknya oleh komposer berpengalaman, Azlan Abu Hassan.
Tiada Erti hadir dengan kekuatan melodi mendalam dan elemen muzik yang memadukan rasa klasik serta moden, menjadikannya karya yang relevan untuk pendengar pelbagai generasi.
Bercerita lanjut mengenai single terbaharunya, Shima berkata, beliau memilih karya tersebut kerana kekuatan emosinya yang begitu dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
“Tiada Erti ialah lagu yang indah dan sangat menyentuh perasaan. Susunan muziknya cantik dan emosi lagu ini agak berat. Gabungan melodi, lirik dan vokal menjadikan keseluruhannya sangat dekat dengan hati,” ujarnya.
Sejak album penuh Kepangkuanmu diterbitkan sekitar 2007, Shima tidak tampil dengan sebarang lagu baharu akibat pelbagai kekangan, termasuk ketiadaan dana, isu syarikat rakaman yang ditutup serta kesibukan kerja.
Dalam tempoh itu, beliau masih menerima undangan persembahan namun tidak mempunyai peluang untuk menghasilkan karya sendiri.
Walaupun terhenti lama daripada dunia rakaman, keinginan untuk kembali berkarya tidak pernah padam.
Pelantun Teringin itu tetap menunggu masa sesuai serta sokongan mencukupi untuk kembali semula ke studio.
“Niat untuk menghasilkan single baharu sebenarnya sudah lama ada. Cuma saya tidak mempunyai dana yang mencukupi.
"Tahun ini ALLAH beri rezeki melalui sokongan beberapa individu dan akhirnya Tiada Erti dapat direalisasikan,” jelasnya.
Shima turut berkongsi kisah menyentuh hati yang menjadi antara dorongan terbesar untuk menjayakan single tersebut.
Rakaman vokal terpaksa dilakukan sebanyak dua kali kerana beliau tidak berpuas hati dengan hasil pertama yang dirakam ketika kurang sihat.
Lebih mengharukan, keputusan untuk merakam semula dibuat selepas menerima teguran jujur daripada rakan baiknya, Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Allahyarham Raja Nurfatimah Mawar Mohamed.
Arwah yang rapat dengannya selama lebih dua dekad meninggal dunia pada 22 Jun lalu, sebelum sempat mendengar versi final rakaman tersebut.
“Saya beri arwah dengar rakaman pertama dan arwah terus menegur bahawa saya tidak boleh mengeluarkan versi itu. Arwah minta saya rakam semula kerana sudah terlalu lama saya tidak tampil dengan karya baharu.
"Malangnya, arwah tidak sempat mendengar versi akhir. Itu satu tamparan besar bagi saya,” tuturnya menahan sebak.
Rakaman semula dilakukan pada 1 Julai, beberapa hari selepas pemergian insan yang menjadi antara penyokong terkuat dalam perjalanan seninya.
Tiada Erti kini dilancarkan di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Lagu itu juga sudah dihantar ke semua stesen radio RTM serta swasta untuk siaran, manakala muzik video rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia.
Bagi Shima, single ini bukan sekadar karya baharu tetapi juga sebuah dedikasi tulus buat peminat yang telah menyokongnya sejak awal pembabitan dalam dunia seni.
“Setiap penyanyi mempunyai harapan tinggi terhadap setiap lagu yang diterbitkan.
"Saya berharap Tiada Erti diterima baik oleh semua generasi dan menjadi permulaan untuk saya kembali aktif dalam industri muzik semasa,” ujar Shima sebelum mengakhiri perbualan.