UiTM raih pengiktirafan global di Business Excellence Awards 2025

Iklan
Penghargaan kepada UiTM semasa Majlis UK–Malaysia Partnership of the Year sempena 6th British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) Business Excellence Awards 2025 pada Khamis.

SHAH ALAM - Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan sebagai Naib Johan (First Runner-Up) bagi kategori UK–Malaysia Partnership of the Year di 6th British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) Business Excellence Awards 2025 pada Khamis.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan, anugerah tersebut diberikan bagi mengiktiraf kerjasama dua hala antara organisasi dari United Kingdom dan Malaysia yang berjaya mewujudkan nilai strategik, inovasi pendidikan, pembangunan modal insan serta memberi impak kolaborasi berterusan.

Iklan
Iklan

“UiTM menerima pengiktirafan itu hasil kerjasama strategik selama 58 tahun bersama Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), yang disifatkan sebagai antara hubungan akademik antarabangsa paling kukuh dan mampan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sepanjang kerjasama sejak 1967, ACCA-UiTM telah melahirkan lebih 12,000 affiliates dan ahli ACCA, menjadikan UiTM antara penyumbang terbesar kepada profesion perakaunan global.

Iklan

“Graduannya kini berkhidmat di firma Big Four, GLC, sektor awam, industri kewangan dan institusi dasar negara,” jelas UiTM.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen warga Fakulti Perakaunan dalam memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama antarabangsa, sekali gus terus mengangkat nama UiTM di peringkat dunia.

Iklan

UiTM turut menzahirkan penghargaan kepada ACCA atas hubungan kerjasama hampir enam dekad yang menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan dan pembangunan bakat negara.