JOHOR BAHRU – Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab Hamid mengesahkan bahawa beliau telah dipecat daripada jawatan Setiausaha Bersatu Negeri Johor dalam satu mesyuarat parti yang diadakan baru-baru ini.
Menurut Isa, beliau menerima pemecatan itu yang dibuat oleh Pengerusi Bersatu Negeri Johor dan mengakui ia merupakan kuasa mutlak yang berada di peringkat negeri untuk melantik atau memberhentikan Setiausaha Negeri.
“Saya menerima keputusan itu dengan terbuka dan akan terus menghormati proses parti selaras dengan peraturan yang sedia ada.
“Bagaimanapun, perkara tersebut hanya dimaklumkan kepada saya secara lisan dan sehingga kini saya masih menunggu surat rasmi berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Tambahnya, antara sebab pemecatan beliau adalah kerana tersenarai dalam kumpulan 120 Ketua Bahagian yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) mendesak Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya berundur daripada jawatan.
Beliau juga didakwa terlibat dalam satu siri jelajah dikenali sebagai Semarak yang dikatakan memburukkan imej parti dan presiden.
Dalam pada itu, Isa menjelaskan bahawa pemecatan tersebut hanya melibatkan jawatan Setiausaha Negeri manakala beliau masih kekal sebagai Ketua Bahagian Bersatu Pontian.
“Bagi jawatan Ketua Bahagian, kuasa pelantikan dan pemecatan terletak di bawah bidang kuasa Majlis Tertinggi Parti dan bukan di peringkat negeri,” katanya.