Rumah jadi makmal ketum: Suspek 22 tahun ditahan, rampasan bernilai RM71,000

Iklan
Peralatan memproses air ketum yang ditemui dalam rumah suspek yang diserbu anggota PGA Briged Tenggara pada Khamis. - Foto: FB Briged Tenggara PGA

KUANTAN – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya membongkar kegiatan memproses dan mengedar air ketum hasil serbuan ke atas sebuah rumah yang disyaki dijadikan pusat pemprosesan bahan terlarang itu di Kampung Padang Jaya, Jaya Gading, pada Khamis.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi, PGA Briged Tenggara memaklumkan serbuan menerusi Ops Taring Mitra sekitar jam 11 pagi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun.

Iklan
Iklan

“Hasil pemeriksaan telah membawa kepada penemuan 52.90 kilogram daun ketum.

“Turut ditemui sebanyak 547 bungkus air ketum yang telah diproses dengan anggaran jumlah 437.6 liter, yang disimpan di dalam rumah serta di dalam kenderaan suspek.

Iklan

“Beberapa peralatan memproses air ketum dan sebuah kenderaan turut dirampas,” katanya.

Menurut PGA, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM71,000 termasuk kenderaan yang digunakan suspek.

Iklan

Suspek kini diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.