Majlis Peguam akan kemuka aduan tatatertib kes firma guaman terbabit rasuah

Iklan
Majlis Peguam akan mengambil tindakan tatatertib terhadap peguam atau firma guaman terbabit dalam rasuah urusan pembiayaan pinjaman bank.

SHAH ALAM - Majlis Peguam akan mengambil tindakan mengemukakan aduan tatatertib terhadap mana-mana peguam atau firma guaman yang didakwa terbabit dalam perbuatan rasuah melibatkan urusan pembiayaan pinjaman bank, baru-baru ini.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media baru-baru ini mengenai beberapa pegawai bank didakwa kerana menerima rasuah daripada sebuah firma guaman.

Iklan
Iklan

"Perkara ini amat serius kerana ia menjejaskan kepercayaan awam, bukan sahaja terhadap institusi kewangan tetapi juga terhadap integriti profesion guaman.

"Majlis Peguam Malaysia secara tegas mengutuk semua bentuk rasuah. Integriti dan kebebasan ialah tonggak penting profesion guaman dan apa-apa kelakuan yang menjejaskan nilai ini tidak boleh dimaafkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Media melaporkan 10 pegawai dan bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah daripada beberapa firma guaman sebagai balasan mencadangkan mereka sebagai penyedia dokumen pembiayaan perumahan.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Iklan

Mengulas lanjut, Majlis Peguam Malaysia menegaskan kekal komited mempertahankan maruah profesion guaman dan mengekalkan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan.

"Kami merakamkan penghargaan kepada agensi penguat kuasa kerana menangani perkara ini dengan tahap keseriusan yang sewajarnya.

"Tindakan tegas mereka menghantar mesej jelas bahawa rasuah tidak akan ditoleransi dan setiap pihak yang terlibat mesti bertanggungjawab.

"Kami akan terus bertindak tegas dan bertanggungjawab untuk menjunjung profesion guaman serta segala nilai yang didukungnya," katanya.