Sekolah vertikal penyelesaian krisis kepadatan bandar – Kor Ming

Iklan
Konsep sekolah vertikal merupakan pendekatan inovatif dalam mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan bandar berkepadatan tinggi. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Bandar-bandar utama di Malaysia seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang dan Selangor kini berdepan kepadatan penduduk yang tinggi, dengan Kuala Lumpur sendiri mencatatkan 8,235 orang bagi setiap 1 kilometer (km) persegi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, senario itu menyebabkan berlaku kesesakan di sekolah-sekolah di kawasan bandar berikutan pertambahan jumlah pelajar saban tahun.

Iklan
Iklan

Keadaan tersebut menurut beliau, bertambah rumit apabila kekurangan tanah di kawasan bandar menyukarkan pembinaan sekolah baharu secara konvensional, yang lazimnya memerlukan kawasan seluas 2.4 hingga 3.2 hektar untuk sekolah rendah manakala 3.2 hingga 4.8 hektar bagi sekolah menengah.

"Justeru, dalam usaha untuk memastikan akses pendidikan dan modal insan yang berkualiti, konsep sekolah vertikal kini dilihat sebagai satu penyelesaian mampan bagi memenuhi keperluan akses pendidikan bagi bandar-bandar padat di Malaysia.

Iklan

"Ia juga selaras dengan saranan Perdana Menteri agar pembinaan sekolah baharu di kawasan pembangunan yang sesak dan padat dibina secara menegak serta bersepadu dalam kawasan kediaman dan komersial.

"Garis Panduan Perancangan Sekolah Vertikal di Skim Perumahan Berbilang Tingkat sudah dibentang dan diluluskan di Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-49 yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 13 Oktober," katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Iklan

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan berkenaan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewajibkan penyediaan kemudahan pendidikan bagi projek perumahan berskala besar.

Tambah Kor Ming, konsep sekolah vertikal merupakan pendekatan inovatif dalam mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan bandar berkepadatan tinggi melalui pembangunan sekolah bertingkat yang inklusif dan mesra komuniti.

Jelasnya, garis panduan berkenaan menandakan langkah ke hadapan Malaysia dalam merangka model pendidikan bandar yang mampan, moden dan holistik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

"Penetapan dasar dan mekanisme penyediaan kemudahan pendidikan telah diperincikan melalui Garis Panduan Perancangan (GPP) Kemudahan Masyarakat yang mula diperkenalkan sejak tahun 1997.

"Garis panduan ini telah disemak dan ditambah baik dari semasa ke semasa manakala versi terkini yang sedang diguna pakai adalah GPP Kemudahan Masyarakat Tahun 2022 (versi ke-3)," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, penyediaan tapak kemudahan pendidikan bagi pembangunan baharu akan ditentukan berdasarkan ambang populasi (population threshold).

Katanya, sebagai contoh, pembangunan perumahan baharu yang menjana seramai 7,500 penduduk memerlukan satu tapak sekolah rendah seluas minimum 2.4 hektar.

"Sementara pembangunan janaan penduduk seramai 8,750 orang akan memerlukan satu tapak sekolah menengah seluas minimum 3.2 hektar.

"Tapak-tapak kemudahan pendidikan ini akan turut dikenal pasti dan ditandakan dalam Rancangan Tempatan sebagai zon institusi (kemudahan pendidikan) bagi memastikan peruntukan tapak tersebut diselaraskan dan disediakan bagi pembangunan sekolah di masa akan datang," jelasnya.

Dalam masa sama, Kor Ming memberitahu, kerajaan Madani melalui KPKT sentiasa menjalinkan kerjasama erat kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta.

"Inisiatif ini diyakini mampu menyediakan akses pendidikan berkualiti dan menjadi model pembangunan bandar bersepadu yang lebih inklusif untuk masa hadapan," ulasnya.