WHI 2025 perkasa usahawan wanita dalam industri halal

Iklan
NORAINI (dua dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada Rozini Abdul Rahman (dua, kiri) pada Majlis Perasmian Penutup Women in Halal Industry (WHI) di Menara Dato Onn baru-baru ini. Foto Bernama

HALAL Development Corporation Berhad (HDC) terus memperkasakan golongan wanita sebagai peneraju utama dalam membangunkan ekosistem halal negara melalui pelaksanaan Program Grand Kick-Off Women in Halal Industry (WHI) 2025: Transformasi Wanita di Dalam Industri Halal.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, inisiatif WHI adalah usaha berterusan kerajaan bersama sektor swasta bagi memastikan golongan wanita terus maju sebagai pemimpin, inovator dan peneraju utama dalam industri halal yang kini dianggarkan bernilai lebih AS$3 trilion (RM12.4 trilion) di peringkat global.

Iklan
Iklan

Noraini yang juga Peneraju WHI berkata, industri halal kini tidak lagi terhad kepada sektor makanan dan minuman, sebaliknya telah berkembang kepada pelbagai bidang lain seperti farmaseutikal, kosmetik, kewangan Islam, logistik, pelancongan dan fesyen sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada penyertaan wanita.

Justeru katanya, program dua hari itu menyediakan pelbagai sokongan kepada usahawan wanita termasuk latihan pensijilan halal, bimbingan keusahawanan, akses pembiayaan serta pasaran, selain memberi ruang kepada mereka untuk membangun kepimpinan, keyakinan diri dan rangkaian sokongan secara mampan.

Iklan
Iklan

Noraini berkata sejak dilancarkan pada Jun lepas, WHI telah menarik lebih 400 penyertaan usahawan wanita bagi siri pertama, dengan 153 peserta dipilih menyertai program tersebut melebihi tiga kali ganda daripada sasaran asal sebanyak 50 penyertaan. - Bernama