SHAH ALAM - Bangunan Plaza Perangsang yang terletak di Seksyen 14 di sini bakal ditransformasikan kepada sebuah hotel bertaraf antarabangsa dalam tempoh kurang 10 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas berkata, transformasi bangunan yang menjadi mercu tanda pentadbiran dan komersial di Shah Alam itu merupakan sebahagian daripada misi strategik di bawah inisiatif projek SA Sentral.
Secara tidak langsung menurutnya, ia bakal memperkukuh kedudukan bandar raya itu sebagai sebuah bandar moden, dinamik dan berdaya saing.
“Usaha transformasi ini dimeterai melalui perjanjian pengurusan hotel dan perjanjian perkhidmatan perundingan hotel antara DPMS Hospitality Sdn Bhd dan Accor pada 15 Oktober lalu.
“Melalui kerjasama ini, Accor dilantik sebagai pengendali hotel untuk menguruskan operasi, DPMS Hospitality bertanggungjawab sebagai pemilik hotel manakala PKNS kekal pemilik tanah serta pemaju utama keseluruhan pembangunan ini.
“Hotel dengan jenama Grand Mercure Shah Alam dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku kedua tahun 2026,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi pratonton Grand Mercure Shah Alam di Galeria SA Sentral di sini pada Rabu.
Hadir sama, Naib Presiden Pembangunan Indonesia Malaysia Accor, Rio Kondo dan Ketua Pegawai Eksekutif (Designate) SA Sentral, Datuk Mohd Najib Ibrahim.
Dalam pada itu Mahmud memaklumkan, hotel yang terletak di aras 18 hingga 26B Plaza Perangsang itu menawarkan 156 bilik penginapan premium serta kemudahan lengkap merangkumi restoran, spa, kolam renang, pusat kecergasan, bilik mesyuarat, dewan bankuet dan ruang khas untuk kanak-kanak.
Oleh yang demikian menurutnya, bangunan setinggi 27 tingkat yang dibina pada 1998 itu akan diposisikan semula daripada menara pejabat konvensional kepada destinasi perniagaan dan rekreasi bersepadu di bawah pelan pengoptimuman aset PKNS.
“Projek hotel bertaraf antarabangsa itu dijangka menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa selain membuka peluang baharu kepada pelabur untuk mengembangkan sektor pelancongan serta perkhidmatan di Selangor.
“Selain hotel, projek ini akan menempatkan pelbagai komponen lain termasuk ruang pejabat moden, ruang kerja berkonsep fleksibel, 600 lot parkir bertingkat serta rangkaian kafe dan restoran.
“Kerjasama dengan Accor melalui jenama Grand Mercure ini melambangkan komitmen PKNS untuk memperkukuh sektor hospitaliti di Selangor, selaras kempen Tahun Melawat Selangor serta temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026,” jelasnya.