MELAKA - Polis meminta bantuan orang awam mengesan seorang wanita, Mahayu Mohd Salleh, 56, yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Desa Taming Sari, Sungai Udang sejak 6 September lalu.
Difahamkan wanita yang tidak bekerja itu tinggal bersama anak perempuannya di tingkat atas deretan kedai di pekan tersebut.
Mahayu yang merupakan ibu tunggal kepada tiga anak dewasa dipercayai keluar dari bilik sewa berkenaan pada waktu malam sebelum disedari tidak pulang keesokan hari.
Dia turut membawa pakaian, kad pengenalan dan telefon bimbit ketika keluar, namun usaha keluarga menghubunginya gagal apabila panggilan tidak dijawab.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Cristopher Patit berkata, kali terakhir Mahayu dilihat berada di alamat rumah berkenaan.
“Wanita itu mempunyai rambut hitam paras bahu, berkulit kuning langsat, berbadan kurus, berketinggian 156 sentimeter dan berat kira-kira 50 kilogram.
“Bagaimanapun pakaian yang dipakai ketika kejadian tidak dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan pada khamis.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Sungai Udang di talian 06-3212122 bagi membantu usaha pencarian.