KULAI - Seramai 84 pekerja warga asing mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain, pada Isnin lalu.
Majistret R Salini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 setiap seorang terhadap 83 tertuduh atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Seorang tertuduh yang merupakan Filipina dan Indonesia termasuk seorang yang mengaku warga tempatan, dikenakan hukuman penjara tujuh bulan dari tarikh tangkap iaitu Isnin lalu.
Semua hukuman tersebut dijatuhkan selepas semua 18 tertuduh lelaki dan 66 wanita itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka secara berasingan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa tanpa kuasa yang sah didapati menggunakan kad pengenalan palsu atau kad pengenalan atas nama orang lain sebagai dokumen pengenalan diri di sebuah kilang dekat Taman Teknologi, Senai di sini, kira-kira jam 5 petang, Isnin lalu.
Bagi perbuatan itu, mereka yang berusia antara 18 hingga 53 tahun didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Jihad Syahida Nadia Zakaria mewakili 20 tertuduh dan Norasykin Md Jabarulla mewakili 30 tertuduh, manakala selebihnya diwakili peguam Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) secara probono.
Mereka memohon hukuman minimum atas pelbagai alasan antaranya ada yang ibu tunggal, anak yang masih kecil, bekerja kilang dan merupakan pesalah kali pertama.
Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zulkarnain Ahmad pula berkata, kad pengenalan adalah satu dokumen yang penting di Malaysia dan jika disalah guna, ia boleh mendatangkan masalah kepada negara dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, politik dan paling penting adalah keselamatan negara.
"Mohon hukuman berat sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi kepada semua masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama," katanya.
Pendakwaan turut dijalankan Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Ramzi Adnan, Noorlelawathi Man, Izzul Zakwan Zulkeflee, Nurul Nadiah Zainal Abidin dan Mohd Shazlan Hafizi Mat Yaacob.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan pegawai JPN Putrajaya menjalankan operasi pemeriksaan dokumen pengenalan diri di kilang berkenaan dan semua tertuduh yang ditahan telah mengemukakan salinan kad pengenalan atas nama individu lain untuk bekerja.
Hasil semakan dengan rekod JPN mendapati ada maklumat kad pengenalan dikemukakan tidak merujuk kepada tertuduh, manakala ada cap ibu jari dan kad pengenalan tidak wujud serta tidak pernah dikeluarkan JPN kepada mereka.
Pada Isnin lalu, JPN dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan operasi Ops Kotak di sebuah kilang kotak dan percetakan sebelum seramai 19 warga asing lelaki dan 67 warga asing wanita yang berusia antara 19 hingga 50-an ditahan selepas disyaki menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja.