Tiada kewajipan Pulau Pinang bayar sewa, pampasan kepada Kedah

Iklan
Kon Yeow

GEORGE TOWN - Kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia tidak pernah dipertikaikan dan termaktub dengan jelas dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, status Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat adalah sangat jelas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dakwaan mengenai sewaan atau pembayaran tertentu kepada Kedah tidak berbangkit sama sekali di peringkat kerajaan negeri kerana tanggungjawab itu telah dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan berdasarkan sejarah dan peruntukan undang-undang.

“Berdasarkan perjanjian 1869 antara British dan Kedah serta Perkara 167(7) dan 169(a) Perlembagaan Persekutuan, segala komitmen bayaran tahunan zaman pentadbiran British kini terletak di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan,” katanya.

Iklan

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Khamis.

Justeru, katanya, Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang kewajipan undang-undang untuk membayar sewaan, pampasan atau sebarang bentuk bayaran kepada Kedah.

Iklan

Beliau turut menjelaskan, sempadan negeri antara Kedah dan Pulau Pinang telah dimuktamadkan melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Penyelarasan Sempadan) 1985 [Akta 325] yang diluluskan Parlimen mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, kerajaan negeri menolak sebarang naratif, provokasi atau mesej kebencian yang cuba dimainkan pihak tidak bertanggungjawab hingga mampu mengugat keharmonian awam.

“Pulau Pinang adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan dan semua komitmen kewangan sejarah yang melibatkan Kedah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan memastikan hubungan antara negeri dipelihara mengikut prinsip undang-undang.

Isu kedudukan Pulau Pinang kembali hangat pada minggu lalu selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi mendakwa bahawa Pulau Pinang merupakan wilayah Kedah dan berada dalam status pajakan.

Muhammad Sanusi turut memaklumkan, Kedah sedang dalam proses melantik pasukan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang berkaitan hubungan negeri itu dengan Pulau Pinang, yang menurutnya akan dibuat berdasarkan ‘fakta sejarah dan asas undang-undang’.

Beliau sebelum ini beberapa kali mengulangi tuntutan agar Pulau Pinang membayar pampasan lebih tinggi kepada Kedah atas dakwaan ‘pajakan’ pulau dan Seberang Perai.