SME Corp Malaysia perkasa jenama tempatan ke peringkat global melalui NMMB

Iklan
Dari kiri; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia, Raja Muzafar Raja Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy dan Ketua Seksyen Pengurusan Pelanggan, SIRIM QAS International Sdn Bhd, Syed Fadly Syed Bahrudin bergambar bersama peserta Program BrandQuest 2025.

DALAM usaha memperkukuhkan kedudukan jenama tempatan di pentas dunia, SME Corp Malaysia terus melangkah ke hadapan melalui Program National Mark of Malaysian Brand (NMMB), satu inisiatif pensijilan penjenamaan bagi mengiktiraf produk dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menepati nilai Kualiti, Kecemerlangan dan Keunggulan.

Dibangunkan dengan kerjasama SIRIM QAS International Sdn Bhd, skim pensijilan itu bukan sekadar satu pengiktirafan tetapi ia merupakan simbol kepercayaan dan kredibiliti yang membuka peluang lebih luas di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Iklan
Iklan

SME Corp Malaysia memaklumkan, sehingga kini, sebanyak 177 syarikat tempatan telah menerima pengiktirafan berprestij ini.

Malah, tanda dagang Malaysian Brand kini sudah berdaftar di 11 negara, termasuk Australia, Brunei, Georgia, Hungary, Indonesia, Itali, Kemboja, New Zealand, Korea Selatan, Turkiye dan United Kingdom sekali gus menjadikan jenama Malaysia semakin diiktiraf di persada global.

Iklan

“Buat julung kalinya, SME Corp Malaysia menawarkan Geran Pensijilan National Mark of Malaysian Brand, dengan peruntukan sebanyak RM130,000 bagi menampung kos audit pensijilan untuk 20 syarikat PMKS terpilih di seluruh Malaysia.

“Melalui inisiatif eksklusif ini, syarikat berpeluang menjalani proses pengauditan berkala yang mampu memperkukuh sistem pengurusan, meningkatkan standard kualiti serta menambah nilai kepercayaan terhadap produk dan perkhidmatan mereka setanding jenama bertaraf antarabangsa,” kata SME Corp Malaysia menerusi satu kenyataan.

Iklan

Dalam pada itu, SME Corp Malaysia turut menganjurkan Program BrandQuest 2025 bertemakan The New Wave: New Gen Cultural Shifts & Brand Evolution dengan kerjasama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC) pada 29 hingga 30 September lepas. Program itu telah menghimpunkan sebanyak 105 syarikat PMKS dengan penyertaan 110 peserta daripada pelbagai sektor industri.

Antara tokoh usahawan dan pakar industri terkemuka yang terlibat dalam sesi perkongsian inspirasi ialah Christina Mei Mei Ng dari Christy Ng Production Services Sdn Bhd, Muhammad Hatta Dolmat dari Hatta Dolmat Design dan Lawrence Chuah Wei Chong dari BHPetrol serta Jon Chin dari Cognitive Blend.

Sementara itu, di bawah program NMMB juga, SME Corp Malaysia telah melancarkan buku panduan penjenamaan, Do Your Own Branding (DYOB) Toolkit pada tahun lalu dan ia menjadi sumber rujukan dan panduan praktikal kepada PMKS untuk memahami konsep penjenamaan strategik serta menyediakan langkahlangkah membina jenama yang kukuh dan berdaya saing.

Bagi memacu PMKS ke pasaran antarabangsa, SME Corp Malaysia bersama DDEC turut memperkenalkan Program Penjenamaan dan Pemasaran PKS Malaysia ke Pasaran Global.

“Sebanyak 20 syarikat PMKS berpotensi tinggi dijangka meraih manfaat langsung daripada program ini termasuk peningkatan kualiti reka bentuk produk, kedudukan pasaran yang lebih kukuh serta pendedahan kepada strategi pemasaran global yang berkesan,” kata kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai program pensijilan Malaysian Brand, sila layari www.nationalmark.gov.my atau emel ke nationalmark@smecorp.gov.my.