Rafizi telah selamatkan PKR - Hassan Karim

Iklan
Hassan dan Rafizi

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa Datuk Seri Rafizi Ramli memainkan peranan penting dalam menyelamatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun tewas dalam pemilihan parti dan tidak lagi berada dalam Kabinet.

Beliau berkata, kekalahan Rafizi dan tindakan keluar daripada kerajaan membawa hikmah kepada parti kerana membolehkan bekas Menteri Ekonomi itu terus bersuara secara bebas melalui Parlimen serta medium podcast di media sosial.

Iklan
Iklan

"Tindakan Ahli Parlimen Pandan itu menghidupkan harapan rakyat terhadap PKR sebagai parti progresif dan reformis berbilang kaum.

"Fenomena baharu yang wujud apabila Rafizi kekal aktif tetapi berada di luar pentadbiran kerajaan memberi ruang kepada idea politik yang lebih segar sambil mengekalkan kesetiaan kepada idealisme parti yang memihak kepada rakyat, bukan golongan elit," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Hassan turut menegaskan wujudnya pemisahan jelas antara Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan PKR sebagai sebuah parti, meskipun didukung lebih sejuta ahli.

Katanya, kerajaan boleh jatuh atau berubah dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun perkembangan terbaru melibatkan Rafizi memberi potensi kebangkitan baharu kepada PKR.

Iklan

Beliau berkata, perbezaan pendirian antara Anwar dan beberapa pemimpin senior PKR di Parlimen termasuk Rafizi berpunca daripada isu Perjanjian Timbal Balik Tarif (ART) yang ditandatangani Perdana Menteri dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur.

Tegasnya, isu ART bukan perkara kecil kerana membabitkan dasar negara, kemerdekaan dan kedaulatan yang menjadi teras perjuangan PKR.

Bagaimanapun, Hassan memuji kepimpinan parti serta sikap berhati-hati Anwar kerana tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota parti yang lantang mengkritik kerajaan, sama ada di dalam atau luar Parlimen.

"Dalam hal ini, saya tabik hormat kepada Perdana Menteri,” katanya.

Pada 28 Mei lalu, Rafizi Ramli mengesahkan telah menghantar sepucuk surat peletakan jawatan Menteri Ekonomi kepada Anwar berkuat kuasa 17 Jun.

Rafizi mula dilantik sebagai Menteri Ekonomi pada 3 Disember 2022, selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU15.

Beliau gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan PKR yang berlangsung di Johor Bahru pada Mei lalu.

Rafizi meraih 3,866 undi manakala pencabarnya, Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi.