GRS cadang gubal enakman baharu permudah urusan hartanah

Iklan
Hajiji (empat dari kanan) menyaksikan penyerahan geran subidiari 1Borneo daripada Pengarah Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew Chau Min (tiga dari kanan) kepada Yang Dipertua USIA, Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad (empat dari kiri) di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu pada Khamis.

KOTA KINABALU - Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memperkenalkan satu enakmen baharu bagi memudahkan urusan jual beli dan pengurusan hartanah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, enakmen baharu itu khususnya untuk projek yang melibatkan pemaju dan pemilik seperti pembangunan 1Borneo Hypermall.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat untuk memerintah semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah 2025.

"Beberapa peraturan sedia ada sudah terlalu lama digunakan dan tidak lagi sesuai, justeru perlu digubal semula bagi mempercepatkan urusan antara pembeli, pemilik tanah dan pihak berkaitan.

Iklan

"Enakmen baharu itu akan menangani halangan teknikal yang sering melambatkan proses jual beli dan pertukaran hak milik hartanah.

"Untuk urusan-urusan yang bersangkutan, kadang-kadang enakmen yang ada tidak lagi sesuai kerana sudah lama, berpuluh-puluh tahun. Jadi kita perlu gubal untuk memudahkan lagi pembeli dan juga pemilik tanah, hartanah ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan 1,974 Geran Subsidiari 1Borneo kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) oleh Jabatan Tanah dan Ukur di Menara Kinabalu, pada Khamis.

Iklan

Terdahulu ketika berucap, Hajiji menzahirkan kesyukuran kerana penyerahan 1,974 geran subsidiari yang ditunggu-tunggu pemilik dan pembeli kedai rumah di 1Borneo akhirnya dapat direalisasikan.

Ujarnya, penyerahan itu membuktikan kesungguhan kerajaan GRS mempercepatkan pengeluaran strata title, walaupun terdapat beberapa kekangan teknikal yang masih perlu diselesaikan.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan kerajaan sentiasa komited menyelesaikan isu berkaitan urusan tanah dan hartanah, termasuk mencadangkan satu enakmen baharu bagi memudahkan lagi urusan antara pemaju dan pemilik.

Semenjak diwujudkan, 1Borneo Hypermall telah menjadi antara mercu tanda komersial paling menonjol di Sabah, malah merupakan hypermall terbesar bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh pulau Borneo.

Dengan empat blok kediaman merangkumi 910 geran strata, 21 geran bagi 2,300 tempat letak kereta berbumbung, dan 1,043 geran komersial, termasuk empat buah hotel dengan mempunyai kira-kira 929 bilik.