GOMBAK – Seorang wanita bertindak agresif apabila mengeluarkan kata-kata kesat dan meludah ke arah kakitangan awam serta pesakit lain di sebuah klinik kesihatan di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia lingkungan 20-an itu hadir ke klinik bersama anaknya untuk mendapatkan rawatan sebelum bertindak luar kawalan.
"Suspek bertindak agresif dengan menjerit, memaki hamun, berdiri di atas kerusi serta meludah ke arah kakitangan dan orang awam yang berada di klinik.
"Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat pada jam 12.25 tengah hari berikutan kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
"Suspek telah ditangkap pada hari yang sama dan dituduh di Mahkamah Majistret Selayang.
"Kes disebut untuk sebutan pada 19 Disember 2025," katanya.
Menurutnya, tertuduh akan dihantar ke Hospital Bahagia untuk penilaian selain tiada ikat jamin yang ditawarkan.
Tular di media sosial baru-baru ini memaparkan seorang wanita mengamuk di sebuah klinik di kawasan Gombak ketika hadir mendapatkan rawatan.