MDA perkukuh empat nilai utama tonggak perkhidmatan

Iklan
Majlis sambutan Hari Integriti Nasional 2025 peringkat MDA di Cyberjaya pada Selasa.

CYBERJAYA - Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) menyeru semua warganya terus menghayati empat nilai utama iaitu integriti, efektif, profesional dan kesaksamaan sebagai tonggak dalam menjalankan amanah.

Ketua Eksekutif MDA, Dr Muralitharan Paramasua berkata, sebarang kerenah birokrasi perlu diminimumkan dan organisasi itu perlu berperanan sebagai penghubung yang cekap antara kerajaan serta industri peranti perubatan bagi memastikan sistem kesihatan negara berjalan dengan berkesan.

Iklan
Iklan

“MDA kini menjadi rujukan utama industri bukan sahaja kerana kepakaran teknikal tetapi juga kerana keupayaan mempercepat proses kerja antaranya pencapaian GPI 14 hari dan 21 hari, yang kini menjadi penanda aras nasional.

“Dari segi kewangan, prestasi MDA terus meningkat kukuh, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai agensi teknikal terkemuka. Namun kejayaan­ ini tidak boleh dicapai jika wujud sikap negatif seperti fitnah, adu domba, menjatuhkan reputasi rakan sekerja atau mengambil kesempatan­ untuk kepentingan peribadi.

Iklan

“Sebagai agensi penguat kuasa, cabaran rasuah adalah besar dan memerlukan kekuatan dalaman­. Integriti tidak boleh ditawar, seorang pegawai yang menerima suapan walau sekali menggadaikan bukan sahaja maruah diri tetapi merosakkan keseluruhan sistem,” katanya ketika majlis sambutan Hari Integriti Nasional 2025 peringkat MDA di Cyberjaya pada Selasa.

Dari kiri, Muhammad Shamshinor, Nurhayati Nordin dan Noor Arifah.

Iklan

Pada majlis berkenaan, turut diadakan sesi forum menampilkan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Shamshinor Abdul Azzis; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia - Rasuah Busters, Nurhayati Nordin dan Ketua Unit Integriti MDA, Noor Arifah Abdul Latif.

Sementara itu dalam forum yang diadakan, Nurhayati berpendapat, isu buli sama ada dalam kalangan pelajar, pekerja mahupun organisasi bukan sahaja merosakkan individu tetapi juga meruntuhkan budaya integriti dalam sesebuah institusi.

Ujarnya, walaupun fenomena tersebut masih berlaku, ia membuktikan bahawa budaya dominasi sebenarnya boleh dipatahkan, asalkan ada langkah dan kesedaran yang betul.

“Kunci pertama keluar daripada ‘penjara buli’ ialah mengetahui hak diri sendiri. Apabila seseorang memahami haknya, setiap pengalaman, peristiwa atau insiden boleh direkodkan secara sistematik dalam diari, kalendar atau catatan harian,” jelasnya.